Tuesday, May 13, 2008

PROLOG

HASRAT untuk menulis catatan pengalaman diserang strok (stroke) atau angin ahmar memang telah lama terbuku di hati setelah saya semakin pulih. Tujuan utamanya adalah sekadar untuk berkongsi pengalaman dengan sesiapa sahaja agar ia kelak dapat dijadikan pedoman. Semoga dengan yang demikian itu dapat diambil iktibar dan jangan memandang ringan terhadap sebarang tanda-tanda awal serangan strok. Sebaliknya setiap orang perlu berwaspada kerana menurut mantan Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng: “Serangan angin ahmar kini dikenal pasti sebagai penyakit yang boleh menyebabkan kematian ketiga selepas penyakit jantung dan kemalangan kenderaan bermotor di Malaysia.” (Utusan Malaysia 2.8.2000).

Halangan utama yang membataskan saya untuk menghasilkan tulisan berkenaan ialah ‘masa’.

Memanglah semua orang mempunyai masa 24 jam sehari semalam. Tetapi barang diingat dahulu sebagai seorang kakitangan di sebuah bank seperti saya, masa dan tenaga adalah faktor penting yang amat perlu diberi perhatian.

Mana tidaknya? Sebaik bangun pagi setelah selesai solat subuh dan bersarapan, saya akan berjoging (berjalan) sebagai salah satu daripada senaman sehingga jam 7.50 pagi. Kemudian saya perlu mandi bagi membersihkan peluh dan demi untuk memperolehi keselesaan.

Setelah berpakaian kemas, saya berkejar pula ke pejabat agar dapat mengetik kad perakam waktu sebelum jam 8.30 pagi iaitu waktu pejabat (waktu kerja) bermula. Biarpun waktu kerja berakhir jam 5.30 petang, saya kadang-kadang meninggalkan pejabat sekitar jam 5.45 atau 5.50 petang. Jika tiba di rumah yang jaraknya sekitar 3 km daripada pejabat jam 6.00 petang, itu dikira awal kerana lazimnya saya tiba di rumah jam 6.15 dan kadang-kadang jam 6.30 petang.
Ketika tiba di rumah biasanya perut minta diisi sedikit lalu saya menjamah sekeping dua roti bakar atau kalau bernasib baik isteri saya yang bertugas sebagai guru menyediakan pisang goreng atau apa jua juadah. Ada kalanya dia membeli pasembur di tepi jalan menuju ke rumah kami.

Setelah perut terisi dan bertenaga sedikit, sekali lagi saya melakukan senaman dengan berjalan pergi balik di hadapan deretan rumah teres kami. Jauhnya kira-kira 400 meter pergi balik sehinggalah menjelang waktu maghrib dan badan juga sudah dibasahi peluh. Aktiviti sedemikian saya lakukan setiap hari bagi ‘membakar lemak’ dan agar sistem pengaliran darah berlangsung dengan sempurna.

Perlu dijelaskan, sebelum diserang strok, aktiviti seumpama ini hampir tidak pernah saya lakukan. Pada saya ia adalah suatu aktiviti yang kurang penting. Selepas mengalami serangan strok barulah saya sedar bahawa senaman adalah amat penting demi untuk mempertingkatkan tahap kesihatan seseorang terutama bila usia kian meningkat. Justeru saya memuji kalangan kebanyakan kaum Cina yang sejak dahulu lagi tanpa mengira usia, baik di waktu pagi atau petang akan berjoging sama ada dengan berlari atau cuma berjalan sahaja. Satu lagi kaedah yang mereka gunakan ialah ‘Taici’ iaitu sejenis senaman yang kelihatan mereka melakukan gerakan lemah lembut tetapi sebenarnya ia adalah sejenis senaman yang melibatkan seluruh badan baik luar atau dalam khususnya otak.

Seperkara yang mendorong saya agar melakukan senaman setiap pagi dan petang jika cuacanya baik ialah kerana saya sangat takut melihat cermin yang memperlihatkan bentuk badan terutamanya bahagian perut kian membesar (berisi) biarpun tekanan darah semakin baik.
Pada sebelah malam sebaik selesai menunaikan solat maghrib saya jarang melepaskan peluang untuk mengikuti berita-berita semasa yang terpapar di kaca televisyen. Jarang benar saya mengikuti rancangan-rancangan lain terutama yang berbentuk hiburan kecuali jika melibatkan artis-artis 60-an. Begitu juga dengan game show. Malangnya mungkin disebabkan tersangat letih saya lazimnya terlelap sebelum tamat rancangan Warta Perdana atau Buletin Utama.
Demikian rutin saya setiap hari.

Bagaimana pun ada saranan daripada teman-teman rapat agar saya memaparkan pengalaman peribadi secara bertulis berhubung dengan pengalaman diserang angin ahmar sehingga menyebabkan sebahagian badan lumpuh serta kehilangan daya pertuturan dan kini telah berupaya memandu kenderaan.

Saya sesungguhnya amat bersyukur ke hadrat Allah Yang Maha Kuasa. Selain itu terima kasih yang tidak terhingga kepada keluarga khususnya isteri dan anak-anak yang merupakan sumber kekuatan semangat dalam menghadapi musibah yang sudah tentu tersembunyi hikmahnya tersendiri. Juga tidak dilupakan sekalian teman dan kenalan terutama bekas bos saya, Dato’ Khairul Fahmy Mohd Yusof kerana dengan doa merekalah jua saya semakin pulih.

Faktor kedua yang juga turut menjadi penghalangnya ialah kerana rasa rendah diri (inferiority complex). Pada hemat saya, tiada sesiapa yang mahu membaca coretan saya itu kerana saya bukanlah ‘public figure’. Saya bukan artis terkenal atau tokoh terkemuka seperti pemimpin politik misalnya.

Bagaimanapun setelah membaca buku Cerita-Cerita Motivasi Untuk Kekuatan Diri oleh Hamedah Wok Awang di mana menurut maklumat ia diulangcetak sebanyak empat kali dalam tahun 2004 turut menyuntik semangat agar saya menulis pengalaman peribadi; diserang strok. Ini ditambah dengan saranan beberapa orang teman yang menyifatkan proses pemulihan yang saya alami itu sebagai sesuatu yang sangat menakjubkan (miracle).

Biarpun senantiasa sibuk, akhirnya saya berhasil mencuri waktu untuk menghasilkan coretan ini. Mudah-mudahan ia akan menjadi iktibar kepada sekalian pembaca. Secara tidak langsung pendekatan yang saya ambil ini juga adalah sebagai salah satu kaedah memperpanjangkan tali silatul rahim kerana baginda Rasulullah ada bersabda (maksudnya):

Siapa yang inginkan rezekinya dibanyak-banyakkan dan umurnya dipanjang-panjangkan, hendaklah ia menghubungkan tali silaturrahim.



Abdul Halim Yaacob, PJK.
Alor Star, Kedah Darul Aman.
2008.



.

No comments: