Saturday, May 17, 2008

03: ENAM BULAN DI RUMAH - AMAT MENJEMUKAN


SELEPAS dibenarkan keluar daripada HAS, saya tidak berupaya ke mana-mana kecuali untuk menunaikan temujanji dengan Pegawai Perubatan (doktor) setiap dua minggu sekali bagi memeriksa tekanan darah serta memeriksa tahap kesihatan. Temujanji berkenaan berlangsung secara berselang-seli dengan latihan pemulihan di Unit Fisioterapi. Ini bererti setiap minggu saya akan pergi ke HAS kerana temu janji berlangsung di Klinik Perubatan, Unit Rawatan Lanjutan (MFUC), sementara Unit Fisioterapi juga terletak dalam kawasan HAS
.
Kedua-dua urusan tersebut berlangsung pada hari Sabtu. Jadi ia tidak mengganggu tugas isteri saya sebagai seorang guru bagi membawa saya ke sana.

Untuk ke HAS, isteri sayalah yang akan memandu motokar. Keupayaan saya untuk berjalan, apa lagi memandu motokar memang tiada sama sekali. Dengan demikian terpaksalah isteri saya menyorong dengan kerusi roda setiap kali pergi ke unit-unit tersebut.

Selain meneruskan rawatan dengan pihak hopital, saya juga berikhtiar kepada bomoh. Dengan bantuan seorang jiran yang kami panggil dia Kak Zah yang pernah menjaga anak ke tiga saya masa dia masih bayi hingga bersekolah dahulu, kami pergi menemui seorang bomoh di Hutan Kampung yang jaraknya kira-kira 20 kilometer daripada rumah kami. Namanya Ustaz Jamil dan merupakan bekas pelajar Maktab Mahmud, Alor Setar serta bertugas sebagai guru.

Khabarnya ketika dia masih menuntut di Maktab Mahmud dahulu kawan-kawannya menggelarkannya sebagai ‘Men Bomoh’. Sebutan Men ialah singkatan nama Jamil yang lazimnnya digunakan oleh orang-orang Kedah dan sebahagian masyarakat di utara.

Di rumahnya ketika kami tiba, terdapat ramai orang yang datang untuk mendapat khidmat sama ada kali pertama seperti saya atau khidmat ulangan. Dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dia menjampi air yang kami bawa. Dia meminta kami bawakan kepadanya pasir dan madu lebah bila datang berjumpanya pada masa akan datang. Seminggu kemudian kami pergi berjumpanya lagi dengan membawa bahan-bahan yang dikehendaki itu.

Seperti sebelumnya, Ustaz Jamil menjampi bahan-bahan itu dengan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran. Setelah selesai dia berpesan agar pasir dipanaskan dengan menggoreng dalam kuali.

“Bungkus pasir tu dengan kain, demah tapak kaki dan bahagian atas atau kura-kura kaki, insya Allah darahnya akan berjalan dengan baik semula. Saya tak boleh jamin, Allah lebih berkuasa. Madu lebah tu boleh diminum dan dibancuh dengan air limau nipis campur dengan sedikit kapur sirih kemudian lumur di bahagian dada dan perut,” pesan Ustaz Jamil sebelum kami meminta diri untuk pulang.

“Perlukah kami ulangi lagi?” tanya isteri saya.

“Tengoklah keadaannya nanti. Kalau dah bertambah baik tak payahlah,” balas Ustaz Jamil.

Lebih kurang sebulan selepas tarikh diserang strok, adik ipar jiran saya disebelah rumah yang lagi satu juga merupakan senior saya sewaktu kami sama-sama belajar di Sekolah Menengah Baling dahulu memperkenalkan saya dengan Encik Hashim Md Zain yang mengedarkan makanan tambahan (food supplement) berasaskan lidah buaya (aloe vera gel), produk lebah, minyak ikan (Arctic Sea Fish Oil-Super Omega 3) dan beberapa produk lainnya dengan kaedah jualan langsung berbilang tingkat (MLM).

Produk lidah buaya adalah dalam bentuk cecair dan perlu disimpan dalam peti sejuk selepas dibuka untuk diminum kerana ia adalah asli tanpa pengawet. Ia mengandungi 75 khasiat makanan dan sekiranya terdedah ia akan teroksidan dan akan rosak jika tidak disimpan dalam peti sejuk.

Khabarnya Encik Hashim pernah mendapat ‘hepatitis B’ dan kembali pulih selepas mengamalkan beberapa produk yang diedarkannya itu. Kepada saya ditunjukkan risalah penerangan beberapa produk yang lain tetapi saya tidak mampu membacanya kerana penglihatan saya kabur sama sekali. Pada waktu itu juga saya tidak berdaya untuk berdiri serta mengangkat tangan.

Sebenarnya saya pernah melihat produk tersebut lebih setahun sebelum itu. Ia diperkenalkan oleh sekumpulan pengedar yang memberikan penerangan di pejabat saya. Bagaimanapun saya dan kakitangan lain yang sama-sama mengikuti penerangan itu langsung tidak berminat. Menarikya ialah minyak ikan (Arctic Sea Fish Oil-Super Omega 3) boleh melarutkan ‘polystyrene’ yang bahan asasnya adalah petrolium. Beliau membuat demonstarsi bagi memperlihatkan tindakan bahan tersebut ke atas polystyrene.

“Lemak tepu dalam badan kita nipun akan larut macam tulah juga,” tegas Encik Hashim

Setelah kira-kira sebulan mengamalkan produk berkenaan, penglihatan saya yang kabur pulih dan saya boleh berdiri biarpun anggota kanan masih menggigil di samping perlu dipapah untuk berjalan. Saya mulai yakin akan dapat dipulihkan biarpun pada sesi temujanji sebelumnya Pegawai Perubatan HAS pernah menyatakan bahawa tiada ubat khusus untuk memulihkan strok.

Encik Hashim memaklumkan produk yang saya ambil itu turut bertindak menjadikan urat saraf saya boleh dilentur (flexible). Beliau juga menegah saya menjalani rawatan mengurut.

“Ada seorang yang juga diserang strok di Pendang menjalani rawatan mengurut. Mulanya dia boleh berrjalan sikit-sikit tetapi lepas diurut, langsung tak boleh berjalan,” beritahunya.

Saya lantas teringat akan pesanan M.Z. Halim Haji Hassan sebelum itu.

“Kalau nak urut pun boleh. Tapi bukan macam urut orang silap urat atau terseliuh. Ia setakat bagi mengeluarkan angin yang terperangkap. Nanti saya bawakan orang yang tahu berkenaan kaedah-kaedah mengurut,” ujar Encik Hashim kemudian.

Seperti yang dijanjikan, beberapa hari kemudian Encik Hashim datang ke rumah saya selepas waktu maghrib bersama seorang berketurunan Cina; Mr Ang Tek Chi namanya. Di kalangan pelanggan-pelanggannya dia dikenali sebagai Dr Ang sekalipun tidak memiliki ijazah kedoktoran. Khabarnya sebelum ini dia adalah seorang peniaga peralatan elektrik, tetapi terpaksa gulung tikar akibat menanggung hutang yang banyak serta kemelesetan ekonomi.

Pada malam itu sebahagian anggota serta seluruh badan saya diurut dan saya menggelupur sambil mengaduh kerana teramat sakit. Di bahagian-bahagian tertentu seperti betis, paha, bahagian atas lengan dan bahagian bawahnya terdengar letusan-letusan kecil. Tatkala tangan saya diurut, sakitnya bukan kepalang menyebabkan saya mengerang agak kuat sambil menggelupur.

“Itu tandanya angin yang terperangkap. Insya Allah ia akan hilang nanti,” ujar Mr Ang. “Pagi-pagi bersenam dengan menumbuk angin. Duduk macam orang tengah sembahyang dan buat secara bergilir-gilir kiri dan kanan,” tambahnya lagi.

Mulanya saya menyangka beliau telah menganut Islam. Apa lagi minyak yang digunakannya untuk mengurut kalau saya tidak salah dengar dijampi dengan surah Al-Fatihah. Begitu juga ketika beliau mulakan kerja-kerja mengurut, dia melafazkan ‘Bismillah’ hinggalah tamat kalimah itu dengan begitu lancar.

Bagaimanapun sangkaan saya itu meleset kerana bila dia datang bersama Encik Hashim sebulan berikutnya ketika maghrib dia tidak bersolat fardu maghrib, sedangkan Encik Hashim meminta izin berbuat demikian. Bagi memastikannya dengan lebih jelas, isteri saya bertanyakan perkara itu kepada Encik Hashim waktu dia datang ke rumah kami seorang diri tanpa kehadiran Mr. Ang beberapa hari berikutnya.

Perkara itu pernah saya cakapkan kepada beberapa orang kenalan. Ada yang memberi komen bahawa hal itu tidak betul kerana dia seolah-olah mempersendakan Allah.

“Lainlah jika dia dah masuk Islam,” ulas seorang kawan.

Namun begitu lain pula persepsi saya kerana meskipun Mr Ang tidak memeluk Islam, dia juga hamba Allah. Dia meminta Allah makbulkan permintaannya. Pada saya dia amat mengharapkan pertolongan Allah. Hanya Allah sahaja yang berkuasa memenuhi permintaan hamba-hambaNya yang dikehendaki biarpun seseorang itu tidak beriman.

Kalau nak disebutkan, sejak lama dahulu ramai umat Islam yang melakukan perbuatan syirik. Bukan sedikit pula yang menipu dan bergelumang dengan judi tikam ekor sehingga ada yang mendapatkan khidmat pawang ‘menurun’. Ada juga yang menafsirkan mimpi yang kononnya memberikan isyarat nombor yang akan menang. Yang minum minuman keras pun apa kurangnya, selain itu bukan sedikit pula yang curi tulang masa bekerja. Terdapat juga orang-orang Islam yang mengadu domba, bercakap bohong, berdusta mengenai sesuatu perkhabaran dan mungkir janji. Yang makan rasuah juga tak kurang jumlahnya, kata saya dalam hati.

Kalau tidak silap Mr Ang mengurut saya sebanyak tiga kali. Pada kali ketiga saya diurut, letusan-letusan yang menandakan angin yang terperangkap dalam otot-otot saya semakin kurang. Saya juga melakukan senaman sebagaimana yang dianjurkan oleh Mr Ang setiap pagi selepas menunaikan solat subuh sehinggalah peluh membasahi tubuh saya biarpun dengan kadar yang sedikit. Perlu dijelaskan bahawa hanya sebelah kiri badan saya sahaja berpeluh.

Keupayaan untuk berdiri tanpa dipapah masih belum diperolehi. Oleh itu saya hanya bersolat sambil duduk sahaja! Kepada Allah saya panjatkan doa agar di suatu hari nanti saya boleh mendirikan solat seperti sebelumnya..

Sebagaimana biasa saya meneruskan latihan di Unit Fisioterapi HAS iaitu latihan menggerakkan tangan dengan mengangkat beban dan latihan kaki dengan mengayuh basikal senaman selama lebih kurang 3 jam bagi setiap sesi. Saya berlatih berjalan dengan bepegang kepada palang tanpa memakai kasut di atas lantai yang menggerutu. Setelah beberapa kali mengikuti latihan, saya berlatih menaiki dan menuruni anak tangga yang juga terdapat di satu sudut Unit Fisioterapi. Latihan memasukkan bungkah ke dalam bekas amat memenatkan kerana ia juga melatih menggunakan otak.

Ketika mengujungi Unit Fisioterapi itu saya telah membeli satu unit tongkat tapak empat boleh laras yang diperbuat daripada keluli bagi kegunaan sebagai penopang untuk berjalan. Ada sekali dua saya bertemu dengan Cikgu Osman Ismail, suami kepada Cikgu Mahani Md Desa yang dahulu waktu kami masih belum berkahwin pernah tinggal serumah dengan isteri saya. Saya kenal baik dengan Cikgu Osman. Cikgu Mahani juga sedang menjalani latihan pemulihan cara kerja kerana beliau telah dibedah pada bahagian kepala akibat ketumbuhan.

Selama berada di rumah, saya rasakan amat menjemukan. Hanya televisyen yang menjadi teman. Dua orang anak laki-laki saya bersekolah di sekolah ibu mereka. Kepulangan isteri memang amat ditunggu kerana beliau telah membeli senaskhah akhbar untuk saya baca.

“Rasanya elok kalau abang bertugas semula. Kalau tak boleh menulis, petik komputer pun jadilah,” ujar isteri saya suatu hari.

“Abang rasa pun macam tu juga. Jemu sangat duduk di rumah ni. Dah enam bulan,” balas saya sambil menggayakan enam batang jari di kedua-dua belah tangan.

Lalu seperti yang dirancang, saya kembali semula bertugas biarpun terpaksa menggunakan tongkat. Dan untuk masuk ke ruang pejabat di mana tiada lif disediakan di bangunan pejabat tiga tingkat itu, saya terpaksa menaiki tangga yang dilengkapi pemegangnya.

Selama enam bulan saya berkurung di rumah terasa suatu tempoh yang cukup lama dan menjemukan. Begitulahh agaknya yang alami oleh kalangan pesara lalu mereka melepak di kedai-kedai kopi berbual kosong. Sebaiknya tingkah laku sebegini wajar dihentikan. Bukankah lebih baik jika masa terluang itu dipenuhi dengan aktiviti berfaedah? Mereka boleh membijaksanakan diri dengan memesrai bahan-bahan bacaan umpamanya. Mereka juga barangkali boleh memperdalami isi Al-Quran yang terkandung pelbagai ajaran menerusi kisah-kisah untuk diteladani.

Barangkali ada yang marah dengan saranan saya ini! Bagaimanapun itu bukanlah paksaan, sebaliknya hanya merupakan suatu pandangan sahaja.





No comments: