Tuesday, May 13, 2008

01: DISERANG STROK KETKA BERUSIA 46 TAHUN





ANGKA merupakan di antara objek yang kurang saya gemari sejak di sekolah rendah lagi. Itulah sebabnya barangkali saya kandas subjek Matematik yang dahulunya dikenali sebagai Ilmu Hisab. Satu lagi subjek yang mengutamakan angka ialah Sejarah. Saya kandas kedua-dua subjek tersebut pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia 1970 (SPM) dengan memperolehi kelulusan Pangkat Ketiga dan hanya mendapat kepujian subjek Bahasa Malaysia. Manakala untuk subjek yang lain hanya lulus sahaja.

Bagaimanapun tanggal 17.9.1999 merupakan fakta sejarah yang tidak mungkin saya lupakan kerana pada tarikh berkenaan saya diserang strok atau angin ahmar tatkala berusia 46 tahun 4 bulan. Sebenarnya tarikh terbut adalah ulangtahun kelahiran ke 12 anak saya yang ketiga. Saya sendiri tidak teringat akan hal itu.
.
Masih segar di ingatan saya hari itu adalah hari Jumaat yang lazimnya adalah cuti hujung minggu di Kedah. Namun kesemua bank termasuk tempat saya bertugas, ia adalah hari bekerja kerana cuti hujung minggu ialah hari Ahad, sementara hari Sabtu – sebelum diselaraskan waktu kerja lima hari seminggu - urusniaganya berlangsung separuh hari.

Sebagaimana biasa, saya pergi kerja dengan menaiki motosikal Honda C 70 tanpa sebarang pertanda akan ditimpa musibah. Di sudut hati saya bagaimanpun terpahat satu azam untuk berhenti merokok – kegiatan yang ternyata tidak berfaedah – yang saya mulakan secara serius sejak 1968; ketika berusia 15 tahun, sewaktu sedang bersdia untuk menghadapi peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Dengan perkataan lain, saya mula ketagih rokok pada masa itu dan melakukannya secara bersembunyi-sembunyi kerana khautir akan dimarahi oleh ibu dan bapa kerana ketika itu saya masih berstatus seorang pelajar.

Sebenarnya percubaan saya untuk berhenti merokok telah berlangsung sejak tahun 1974 lagi, dan melebihi 20 kali tetapi kejayaannya tidak pernah menjadi realiti. Jika direnungkan adalah kerana azam saya tidak teguh.

Masih saya ingat tempoh paling lama saya dapat bertahan tidak merokok ialah selama sebulan. Saya kembali merokok apabila Allahyarham bapa saya mengunjukkan rokok yang baru luak sebatang dalam kotak ketika saya pulang bercuti di kampung. Ketika itu saya masih bujang. Oleh yang demikian adalah tidak benar jika ada di antara rakan-rakan yang mengatakan bahawa saya berhenti merokok setelah di serang strok.

Untuk makluman sekalian pembaca, saya telah mencuba lebih daripada 20 jenama rokok tidak termasuk curut, paip, rokok daun dan ganja. Juga saya masih ingat ketika bertugas di Petaling Jaya sekitar tahun 1974 dahulu pernah saya temui dan mencuba satu jenama rokok yang dikatakan di antara bahan dalam tembakaunya ialah ‘ginseng’. Saya memaklumkan kepada beberapa orang rakan bahawa itu adalah rokok berubat. Mereka tertawa terbahak-bahak lalu mengatakan bahawa itulah kali pertama mereka mendengar ada ‘rokok berubat’ kerana rokok sebenarnya adalah racun. Sekarang saya mengakui kebenaran hal itu.

Berbalik kepada kisah pengalaman yang pernah saya lalui berkaitan dengan serangan strok pada 17.9.1999 itu:

Waktu rehat hari Jumaat bermula jam 12.20 tengah hari sehingga 2.45 petang supaya umat Islam yang laki-laki berkesempatan menunaikan fardu Jumaat serta makan tengah hari.

Seperti kakitangan laki-laki Muslim lain juga, saya pulang ke rumah untuk menunaikan fardu Jumaat di masjid berhampiran rumah saya – Masjid Al Ghufran, di Jalan Pegawai (kini dinamakan Persiaran Sultan Abdul Hamid).

Ketika sedang bersiap-siap untuk pergi ke masjid, tiba-tiba jari manis tangan kiri saya terasa kebas dan berwarna merah kehitam-hitaman. Namun tidak pula saya memberitahu sesiapa sekalipun kepada isteri dan anak-anak. Sebaik sahaja selesai menunaikan solat fardu Jumaat rasa kebas pada jari manis saya itu hilang sama sekali. Sehingga kini menjadi tanda tanya di benak saya: apakah ini salah satu gejala strok? Barangkali kalangan doktor atau pengamal perubatan boleh menganalisa perkara ini.

Saya kembali bertugas seperti biasa selepas itu tanpa sebarang gejala sehinggalah waktu pejabat berkhir pada jam 5.00 petang ketika itu. Sebelum pulang ke rumah, saya singgah di pejabat Koperasi Serbaguna Penulis Utara Malaysia Berhad (KSPUMB), Kompleks Alor Star, Lebuhraya Darulaman kerana pada masa itu Setiausaha Satu Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), Sayed Mahadzir Sayed Omar sedang berada di sana. Saya adalah salah seorang Ahli Lembaga KSPUMB dan ketika itu juga merupakan Bendahari ASASI satu-satunya organisasi penulis di Kedah yang bernaung di bawah payung Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Sayed Mahadzir adalah seorang yang sangat kuat merokok. Melihat dia merokok dengan begitu rakus, saya jadi teruja lalu memintanya sebatang – pada hal semenjak pagi lagi saya tidak merokok kerana berhasrat menunaikan azam untuk berhenti merokok.

Sebaik sahaja asap rokok itu saya sedut ke paru-paru, kepala terasa pening seperti yang pernah dialami ketika mula-mula belajar merokok dahulu. Sebenarnya perasaan sedemikian pernah saya rasai sebelumnya kerana ini bukanlah kali pertama saya cuba untuk berhenti merokok. Rasa yang serupa sering dialami selepas berbuka puasa bila saya menghisap rokok.

Selepas menunaikan solat asar di rumah pada petang hari Jumaat 17.9.1999 itu saya berbaring di seti di hadapan peti televisyen untuk bersantai bersama isteri serta dua orang anak laki-laki sambil menonton rancangan yang dihidangkan. Anak sulung seorang perempuan pada ketika itu sedang menuntut di Kampus Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan dalam jurusan Diploma Teknologi Makmal Perubatan (DTMP).

Menjelang waktu maghrib saya ke halaman bagi menyiram pokok cabai dengan air longkang dengan menggunakan sebuah baldi yang diperbuat daripada bekas cat.
Berkebun adalah kegemaran saya kerana sebelum itu saya pernah mananam sayur antaranya kacang bendi, mentimun dan cabai Melaka (cili burung) di tanah lapang hadapan rumah kami. Bagaimanapun kegemaran saya ini terhenti kerana tanah di tempat saya berkebun itu menjadi keras seperti simen layaknya.

Ketika sedang menyiram pokok-pokok cabai yang saya tanam dalam petak-petak yang dibina dengan batu-bata di tepi pagar rumah kami tiba-tiba saya merasakan degupan jantung begitu kencang. Pada masa yang sama juga saya lihat persekitaran rumah berpusing-pusing. Tanpa membuang masa saya mengatur langkah ke dalam rumah dan terpaksa berpaut kepada badan motokar yang ditempatkan di porch hadapan rumah. Kaki saya merasa terlalu lemah ketika itu dan anak kedua saya seorang laki-laki datang memberi bantuan agar saya dibaringkan di atas seti ruang tamu.

Pada malam itu juga jiran sebelah rumah yang juga adalah junior saya ketika sama-sama menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Baling dahulu datang membantu membawa saya ke Hospital Alor Star (HAS).

Ketika sedang menunggu giliran untuk diperiksa, saya bertanya kepada isteri sama ada terlihat kelainan pada wajah saya (mulut yang herot) atau sebaliknya kerana pada masa itu sebelah muka saya terasa kebas. Beliau menggelengkan kepala menafikannya.

Dalam fikiran saya ketika itu hanya memikirkan bahawa saat kematian sudah semakin hampir. Sekiranya telah sampai masanya saya redha dijemput kerana hidup ini adalah sementara sahaja. Allah telah memberi kesempatan untuk saya menikmati kehidupan yang selesa selama 46 tahun. Bererti selama itulah saya telah menikmati kegembiraan dan kebahagiaan. Begitu penilaian atau muhasabah saya meskipun kekayaan material masih belum sempat dikecapi.

Dunia adalah pinjaman. Akhirat jua tempat yang kekal, demikian hati saya berkata. Tepat seperti ungkapan dalam sebuah pantun:

Halia itu tanam-tanaman,
Ke barat juga akan condongnya;
Dunia ini hanya pinjaman,
Akhirat juga kekal selama-lamanya.

Berikutan dengan serangan strok yang dialami secara tiba-tiba itu saya menjadi penghuni wad HAS selama dua malam. Penglihatan saya mulai kabur, manakala anggota sebelah kanan semakin lemah tetapi masih berupaya menurunkan tandatangani pada surat jaminan (GL) rawatan hospital kerajaan yang dibawa oleh isteri saya pada keesokan harinya biarpun tidak dapat melihatnya dengan jelas.

Ramai juga rakan dan kenalan menziarahi saya ketika berada di wad HAS. Antaranya termasuklah M.Z.Halim Haji Hassan, salah seorang dramatis dan juga penulis skrip drama yang saya kagumi sejak lama dahulu yang kemudian menjadi sahabat karib saya. Beliau merupakan guru saya di bidang penulisan skrip drama radio yang turut bertanggungjawab membawa saya menjadi di antara panel penulis skrip siri Permatang Jingga, Setitik Peluh Segunung Intan dan Keluarga Cikgu Zainun, iaitu drama pendek terbitan RTM (Nasional FM yang kemudian menjadi Klasik Nasional) sedikit masa lalu.

Menurut beliau, musibah yang menimpa diri saya itu amat memeranjatkannya kerana sehari sebelum itu saya berkunjung ke rumahnya dan bersama-sama menonton rancangan televisyen sehingga hampir tengah malam. Rumahnya dengan rumah saya jaraknya hanya kira-kira 1 km sahaja dan saya sering berkunjung ke sana jika ada kelapangan. Rasa terperanjatnya itu juga adalah disebabkan beberapa hari sebelumnya salah seorang rakan, Omar Zainol iaitu seorang pelakon teater berbakat yang pernah diasuhnya telah mengalami kemalangan maut ketika menunggu saat kelahiran anak sulung.

Biarpun Omar tidak begitu rapat dengan saya, tetapi nahas yang meragut nyawa beliau turut menyedihkan saya yang ikut terlibat menjayakan Teater Tradisional Mahsuri di Pekanbaru, Riau, Indonesia sempena Hari Kebangsaan Malaysia 1996. M.Z. Halim merupakan pengarah (sutradara) teater hasil produksi Persatuan Sasterawani Kedah (ANGSANA) yang turut dipentaskan di Kota Tembilahan, Inderagiri Hilir (Inhil) dengan sambutan yang begitu hebat. Beliau adalah di antara pelakon watak utama dan lakonannya amat berkesan.

Selepas berada di wad selama dua hari dua malam, saya dibenarkan pulang dan M.Z. Halim Haji Hassan merupakan orang terawal yang datang menziarahi saya ketika berada di rumah. Dia tidak datang dengan tangan kosong. Sebaliknya dibawanya makanan kesihatan berasaskan gamad yang menurutnya pernah diamalkan oleh seorang kenalannya selepas diserang strok.

“Cubalah berikhtiar dengan produk itu. Kata orang ia berkesan. Insya Allah,” katanya.

Beliau juga menasihatkan agar jangan diurut kerana tindakan sedemikian dikhuatiri boleh memudaratkan di mana ligamen akan tercedera.

“Emak saya juga lumpuh lepas diserang strok. Mulanya boleh berjalan sikit-sikit. Tetapi lepas diurut, langsung dia tak boleh bergerak dan terpaksa diusung untuk ke tandas atau ke tempat mandi,” katanya.

Penyair Affrini Adham (meninggal dunia pada 22.9.2005) atau nama sebenarnya Ahmad Ariffin juga datang mengunjungi saya yang terlantar di tempat tidur. Beliau mengunjukkan senaskah akhbar tetapi saya menyatakan yang saya tidak dapat membacanya kerana penglihatan kabur.
.
“Banyak-banyak bersabar dan tabahkan hati. Ini adalah ujian Allah,” katanya memujuk.

Akibat serangan strok bahagian kiri badan saya terasa sengal dan anggota kanan pula menggigil serta tidak berupaya melakukan sebarang gerak kerja. Andainya saya membuka akhbar pasti akan terkoyak atau terlepas. Keupayaan untuk menyuap makanan juga terjejas. Di samping itu penglihatan saya pula kabur dan setiap objek yang dilihat hanya kelihatan separuh sahaja. Keupayaan bertutur terjejas teruk dan segala butir percakapan sukar difahami oleh setiap pendengar yang biasanya terpaksa diulang-ulang menyebabkan saya merasa rimas untuk berbuat demikian.

Amat menyedihkan ialah untuk berjalan saya terpaksa dipapah sekalipun untuk membuang air kecil di tandas yang terletak hanya lima atau enam langkah daripada katil di bilik tidur.

Sewaktu terlantar di rumah boleh dikatakan ramai teman sepejabat datang berkunjung termasuk bos saya Dato’ Khairul Fahmy Mohd Yusof . Oleh kerana pertuturan saya terganggu sama sekali, saya merasa amat terharu dan sebak kerana tidak dapat melayan mereka yang datang berkunjung itu.

No comments: