Thursday, May 15, 2008

02: SEHARI SEBELUM SERANGAN STROK



KETIKA saya masih berada di bangku sekolah menengah dahulu iaitu mulai tahun 1966, lagu-lagu pop amat digilai oleh sebilangan besar muda-mudi. Di Singapura muncul dengan begitu banyak kumpulan muzik yang dikenali sebagai ‘kugiran’ – nama ringkas bagi kumpulan gitar rancak.

Antaranya ialah The Siglap Five, The Rhythmn Boys, The Clans, The Clicks 4, The Wisma, The Sandblues, The Antartics, The Clifters, The Hornet, Les Fentones dan banyak lagi. Di Johor juga terdapat kumpulan-kumpulan terkemuka antaranya Orkes Nirwana, The Stranggers, Les Coasters, Les Kafilas dan De Fiction.

Di utara pula kumpulan paling menonjol ialah Orkes Teruna Ria (Pulau Pinang) dan diikuti oleh The Tornadoes (Taiping) tetapi ia tidak begitu terkenal. Kumpulan The Zurah muncul kemudian iaitu ketika irama muzik zaman 60-an mula menurun popularitinya.

Kalangan remaja yang masih berstatus pelajar seperti saya dan teman-teman sebaya juga tidak terkecuali daripada menggilai muzik sedemikian apa lagi di tempat saya (Baling) juga terdapat sebuah kumpulan yang dianggotai oleh beberapa orang guru iaitu Orkes Irama Kejora dan salah seorang rakan sekelas Mohamad Hamzah namanya adalah pemain drum simpanan. Manakala sebuah lagi kumpulan yang boleh dikatakan sering diundang bagi mengadakan persembahan ialah The Capricorn.
Orkes Irama Kejora akhirnya berpecah kerana sebahagian anggotanya yang terdiri daripada beberapa orang guru bertukar dan kesemua peralatan muzik mereka dijual kepada satu kumpulan yang tidak begitu menonjol iaitu Dendang Satria juga di bawah pimpinan seorang guru.

Bukanlah suatu hal yang luar biasa kiranya kalangan guru yang banyak terlibat sebagai ahli muzik yang jika ditinjau boleh dikatakan kebanyakan anggota atau pemimpin kugiran adalah terdiri daripada guru atau mereka yang berkerjaya tetap. Antaranya ialah The Wanderes, Orkes Nirwarna, The Jay Hawkers, De Fiction, The Tornadoes dan banyak lagi. Manakala di kalangan penyanyi dan pemuzik juga demikian seperti antaranya M. Fadzil, Rodziah Latif, A. Dayang, A. Nandong, L. Ramlee, Dato A. Rahman Hassan, Johami Abdullah (Joseph Chelliah) dan beberapa orang lagi.

Seperkara yang turut menarik minat saya terhadap lagu-lagu pop Melayu meskipun ia adalah pengaruh muzik The Beatles di barat ialah keupayaannya mengaplikasikan irama asli, ghazal, joget dan keroncong dengan menggunakan instrumen muzik moden.

Di era 90-an lagu-lagu 60-an masih juga mempunyai penggemar meskipun citarasa sebilangan besar muda-mudi telah beralih kepada lagu-lagu Rock, metal atau alternative yang bernada keras.

Bagi meneruskan kesinambungan irama 60-an yang masih ada pengikut dan tidak dinafikan turut digemari oleh sebilangan anak-anak muda, satu pertandingan telah diadakan di sebuah pusat membeli-belah bandar Alor Star. Pelopornya ialah kugiran D’Santani yang pernah mengambil bahagian dalam pertandingan Juara Kugiran anjuran RTM suatu ketika dahulu. Kugiran ini dipimpin oleh Encik Sobri Md Isa, pemain gitar utama yang dikenali dengan panggilan mesra ‘Pak Su’.

Kumpulan ini sering diundang untuk bermain di konsert dan majlis-majlis makan malam terutamanya anjuran Jabatan Penjara Alor Star kerana salah seorang anggotanya, Koperal Ahmad Md Isa iaitu abang kandung Pak Su bertugas di jabatan itu. Manakala Pak Su pula adalah kakitangan Percetakan Nasional yang tentulah sering bermain di majlis-majlis mereka. D’Santani juga pernah mengiringi biduan A. Ramlie pada satu konsert yang diadakan di Dewan Dato’ Syed Omar, Alor Setar beberapa bulan sebelum dewan berkenaan dirobohkan untuk membina Hotel Holiday Villa di Jalan Tunku Ibrahim.

Sehari sebelum diserang strok, saya bertemu seraya berbual-bual dengan Pak Su dan DJ Radio Malaysia Alor Setar, Azarudin Othman (Allahyarham) di Restoran Bahagia yang terletak berhampiran dengan pejabat tempat saya bertugas. Kepadanya saya menyatakan hasrat untuk menyertai pertandingan yang bakal berlangsung itu. Tujuan utamanya bukanlah untuk merebut hadiah, sebaliknya ialah bagi mengetahui sejauh mana kemampuan saya di bidang seni suara.

Sebelumnya memang saya terlibat secara langsung di bidang seni suara bila Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah, Allahyarham Syed Hood Barakbah meminta saya membantu Rakan Seni Budaya berlatih muzik serta dilantik oleh Pegawai Penyelia Kompleks Belia dan Sukan, Encik Lee Boon Sing selaku Bendaharinya.

Bersama kumpulan muzik yang ditubuhkan itu, saya berlatih beberapa buah lagu 60-an seperti antaranya Kenanganku dan Mas Mona yang dipopularkan oleh Jefrydin, Hidup Bersama (A. Ramlie), Tak Mengapa (Dato A. Rahman Hassan), Dara Pujaan (L. Ramlee), Dendang Patah Hati (M. Osman), Lembaran Terakhir (Datuk Ahmad Jais) dan Selamat Tinggal Pujaan (S. Jibeng). Ada juga di antara lagu-lagu berkenaan tersenarai untuk dipilih dalam pertandingan.

Sebenarnya saya bukanlah benar-benar berkebolehan di bidang seni suara apa lagi bila ada iringan muzik. Penglibatan saya bersama kumpulan belia di bawah label Rakan Muda Seni Budaya itu adalah sekadar untuk memberikan bantuan serta motivasi kepada para remaja agar aktiviti melepak dan gejala sosial tidak berfaedah yang lain terhindar. Saya juga pernah melalui zaman sepertimana yang mereka lalui. Bagi yang aktif bersukan barangkali mereka boleh terhindar daripada sebarang kegiatan tidak sihat. Tetapi bagaimana pula halnya bagi seseorang yang langsung tidak berkebolehan di bidang sukan? Kekosongan pengisian jiwa boleh menyebabkan mereka terjebak dengan gejala sosial. Andainya mereka hanya mempunyai bakat di bidang kesenian seperti muzik tidak diberi galakan dan dorongan atau ruang mungkin mereka ini akan terpesong daripada landasan asal yaang boleh menjebak mereka dengan gejala kurang sihat!

Selain itu saya juga terlibat dengan Band Saroja dan pernah menjadi pengacara konsert di samping menjadi vokalisnya. Saya juga pernah berlatih dengan pemuzik kumpulan tersebut di Taman Budaya, Pumpong, Alor Setar kerana saya merupakan salah seorang yang banyak kali juga terlibat dalam persembahan teater tradisional yang dikenali sebagai ‘bangsawan’.

Dengan yang demikian saya yakin dapat menyertai Pertandingan Lagu-Lagu 60-an yang bakal berlangsung itu. Pak Su biarpun bukan begitu rapat dengan saya turut merasa bangga bila saya menyatakan hasrat untuk turut serta kerana katanya jika ‘orang-orang lama’ tidak memberi sokongan siapa lagi yang akan meneruskan kesinambungan irama 60-an yang pernah gemilang serta menjadi seperti revolusi muzik suatu masa dahulu. Malah beliau berpendapat irama sedemikian dijangka akan terus ada pengikut selagi ia dihidupkan dalam bentuk pertandingan sebagai salah satu langkah bagi menjulang martabatnya.

Beberapa hari seebelum itu, ketika sedang meneliti lagu-lagu pilihan yang disenaraikan di sebuah pasaraya di bandar Alor Setar, saya terserempak dengan anggota-anggota Band Rakan Muda Seni Budaya yang sering berlatih bersama saya di Kompleks Belia dan Sukan.

“Kalau abang masuk pertandingan ini, kami yakin abang boleh menang punya,” ujar salah seorang daripada mereka.

Saya hanya tersenyum.

“Cuba abang ambil bahagian,” gesa seorang yang lain pula.

“Cuba abang perhatikan betul-betul senarai lagu-lagu pilihan tu. Ada di antaranya yang selalu kita berlatih. Abang boleh bawa lagu dengan baik,” tokok seorang lagi. “Kalau abang mahu kita turun berlatih mana-mana lagu yang abang pilih tu. Bukan apa, sebelum ini pun kita pernah berlatih. Kita cuma nak mantapkan lagi,” tambahnya.

“Jangan confident sangat,” ujar saya kemudian.

“Malam ni kita mula berlatih bersungguh-sungguh.”

Lebih kurang tiga hari menjelang tarikh pertandingan setiap malam saya berlatih bersama Band Rakan Muda. Lagu pilihan saya ialah Kenanganku di samping Hidup Bersama sebagai persediaan andainya di wajibkan menyampaikan dua buah lagu sekalipun tidak disebut dalam syarat pertandingan.

“Jangan gugup pula,” ujar seorang rakan sebaya saya yang pada kali terakhir ikut serta sebagai pemain gitar irama (rhytmn guitar) juga bagi membetulkan mana yang patut.

Ketika itu kami sama-sama membasahkan tekak di sebuah warung selepas berlatih seperti yang pernah dilakukan sebelumnya.

“Bukan apa, saya pernah mengalaminya satu masa dulu.”

Saya merasa tertarik dan mendesaknya agar dia menceritakan perkara tersebut.

“Itu bukan pertandingan. Tetapi dalam satu persembahan yang saya ikut bermain. Atas permintaan ramai saya diminta menyampaikan sebuah lagu yang pernah saya bawa masa berlatih,” ceritanya.

“Mesti bagus punya,” celah salah seorang anggota Band Rakan Muda.

“Bagus?” tiba-tiba rakan itu bersuara dengan nada agak melucukan. “Tahu apa jadi?”

Semua yang ada hanya menyepi.

“Sebaik saja nama lagu dan penyampainya dinyatakan oleh juruhebah kami pun membuat intro lagu tu. Masa saya mendekatkan mulut ke mikrofon untuk menyanyikannya terdengar penonton bertepuk tangan. Saya yang nak bawa lagu itu sambil bermain gitar terus berasa lemah lutut lalu jatuh terjelepuk,” beritahunya seraya ketawa terbahak-bahak. “Mujur ada seorang lagi yang boleh menggantikan tempat saya bermain muzik. Semenjak itu saya dah serik untuk menyanyi di atas pentas depan orang ramai dalam sebarang persembahan. Saya cuma menyanyi ketika berlatih saja,” katanya lagi.

Pada hari Khamis di sebelah malamnya saya telah pergi ke rumah M.Z. Halim Haji Hassan dan berbual-bual bersama beliau sambil menonton rancangan televisyen. Boleh dikatakan sering juga saya ke rumahnya sekadar untuk berbual. Beliau yang mempunyai tiga orang anak, dua perempuan dan satu laki-laki hanya tinggal berdua dengan isterinya sahaja di sebuah rumah teres dua tingkat yang jaraknya hanya kira-kira satu kilometer dari rumah saya. Anak sulungnya perempuan sudah berkahwin dan tinggal di Sungai Petani, anak kedua laki-laki sedang menuntut di bidang Seni Muzik Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan anak bongsunya perempuan juga pada masa itu sedang menuntut di Terengganu.

Mulanya saya ingin memaklumkan kepada beliau berhubung dengan hasrat untuk menyertai pertandingan nyanyian yang bakal berlangsung pada hari Sabtu. Tetapi entah bagaimana keinginan itu tidak terluah. Tiba-tiba sedang kami berbual tentang berbagai perkara, saya merasakan jantung saya berdegup kencang dan seluruh badan terasa agak lemah serta dibasahi peluh. Lama juga keadaan itu berterusan. Apabila terasa agak reda saya pun meminta diri untuk pulang dan waktu itu sudah dinihari.

Malang bagi saya pada masa Pertandingan Lagu-Lagu 60-an berlangsung saya menjadi penghuni wad Hospital Alor Setar (HAS) akibat serangan strok.

2 comments:

Omar M. Hashim (Omara) said...

Seronok baca kisah band 60'an. Jika lapang lawatilah blog saya di http://mamutanjung.blogspot.com
Ada gambar Pak Su Sobri dan D'Santani.
- Omara

Unknown said...

Bagus tulisan, memang byk pengalaman berkaitan kumpulan gitar rancak era 60 an.. seronok baca.. terbaik