Sunday, June 15, 2008

HUJAN SEHARI MENGHAPUSKAN PANAS SETAHUN.


(Cabutan daripada isi buku yang bakal terbit)

HUJAN SEHARI MENGHAPUSKAN PANAS SETAHUN.


SEPERTI yang pernah saya ceritakan sebelum ini, saya memulakan tugas di Post Office Savings Bank (POSB) yang kemudiannya dijenamakan sebagai Bank Simpanan Nasional yang merupakan sebuah agensi Kementerian Kewangan semenjak 28.5.1974. Jika dihitung sehingga 2007, saya telah berkhidmat selama 33 tahun.

Di sepanjang tempoh tersebut pelbagai onak dan ranjau telah dilalui, apa lagi setelah bertugas dengan Unit Bergerak di Alor Setar mulai 1977 dan bertanggungjawab terus kepada Bahagian Perhubungan dan Pemasaran Ibu Pejabat BSN di Kuala Lumpur.

Pada mulanya Ibu Pejabat BSN ditempatkan di Wisma Pahlawan sebelum berpindah ke bangunan yang dibeli daripada anak Syarikat Kompleks Kewangan bertempat di 117 Jalan Ampang berdekatan Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Bahagian Perhubungan dan Pemasaran kemudian ditukar namanya kepada Bahagian Perhubungan dan Penerangan berikutan dengan kesukaran mentafsirkan erti istilah pemasaran oleh pegawai bertanggungjawab Datuk Zain Hamzah yang kemudian dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Bahagian.

Cawangan BSN di Alor Setar bermula pada tahun 1978 di tempatkan di premis yang disewa daripada Penang Music Centre di Jalan Kota bersebelahan dengan Restoran Laman Nurani dan MNI sekarang.

Perasmiannya telah dilaksanakan oleh KDYMM Sultan Kedah, Tuanku Alhaj Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dengan turut dihadiri oleh Dato’ Seri Syed bin Tun Syed Sheh Shahabuddin (Pengerusi BSN) dan YBM Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah yang ketika itu adalah Menteri Kewangan Malaysia. Pejabat Perhubungan dan Penerangan yang bertempat di tingkat bawah Bangunan Lembaga Penanam-Penanam Padi di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar masih digunakan dan ruang pejabat yang ada turut menempatkan bahagian-bahagian BSN yang tidak dapat dimuatkan di premis Jalan Kota.

Di sepanjang bertugas dengan Unit Bergerak selain mengadakan lawatan guna menyampaikan penerangan di seluruh Kedah dan Perlis hingga ke sempadan Perak Utara iaitu di Bandar Bharu dekat Parit Buntar juga mengambil bahagian dalam ekspo dan pameran. Seingat saya antara ekspo dan pameran ialah ketika pihak RISDA mengadakan pameran di Baling dan MADA juga pernah beberapa kali mengadakan pameran di Kepala Batas, Kedah dan Simpang Empat, Perlis. Manakala Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) sebelum diswastakan dan kini dikenali sebagai Bernas juga pernah mempelawa BSN menyertai pameran di perkarangan Ibu Pejabat LPN, Anak Bukit, Kedah.

Ketika diadakan Ekspo Pertanian dan Perindustrian Kedah (sebelumnya dikenali sebagai Pesta Kedah) yang diusahakan penyelenggaraan oleh Tan Sri Haji Osman Haji Arof sebelum beliau dilantik sebagai Menteri Besar Kedah mulai 24.1.1985, sekurang-kurangnya dua kali BSN terlibat. Lebih membanggakan penyertaan buat kali kedua memenangi Hadiah Hiasan Gerai Cantik bagi kategori Gerai Swasta. Kemenangan ini biarpun tidak memperoleh apa-apa nilai material, tetapi amat menggembirakan saya kerana telah diberi tanggungjawab melakar rekabentuknya yang berjaya menarik pengunjung menyaksikan tayangan filem cereka pada setiap malam. Salah sebuah daripadanya berjudul Cinta Gadis Rimba (warna) iaitu adaptasi novel dengan judul yang sama karya Harun Aminurrashid dengan para pelakon utamanya ialah Dato S Roomai Nor dan M Amin.

Bertugas di gerai ekspo pada waktu malam sekalipun tiada peruntukan elaun lebih masa agak menyeronokkan kerana di samping boleh memasukinya secara percuma, juga tidak perlu bertugas pada sebelah siangnya. Harga tiket untuk memasuki tapak ekspo yang juga disediakan pentas hiburan dengan penampilan beberapa orang artis jemputan terkenal kalau saya tidak salah ingat ialah RM 10 atau RM 15. Tetapi risikonya tetap ada. Debu berterbangan kerana tapak ekspo yang kini telah dibangunkan sebagai Komplek Alor Setar dan turut tersergam Menara Darul Aman juga menempatkan Pejabat Cellcom dan NTV 7 itu tidak dilengkapi tar. Ini menyebabkan ia berdebu jika di musim kemarau dan becak apabila hujan turun.

Akibat setiap malam terdedah kepada debu-debu tersebut, ia turut melekat dalam lubang hidung manakala rambut menjadi kotor dan keras sperti dawai. Mahu tidak mahu terpaksalah ia dicuci dengan shampoo setiap hari.

“Kalau macam ni kepala boleh jadi botak,” rungut Yahya, Pemandu dan Jurutayang yang turut bertugas setiap malam.

Sekurang-kurangnya ada dua peristiwa yang sukar dilupakan di sepanjang saya bertugas dengan Unit Bergerak.

Peristiwa pertama berlaku sewaktu Unit Bergerak memenuhi jadual lawatan untuk membuka akaun pelajar-pelajar di sebuah sekolah di Bohor Mali, Perlis. Jika saya tidak silap waktu itu ialah bulan puasa (Ramadan) dan pelajar-pelajar yang terlibat bersekolah pada sesi petang. Setelah selesai segala urusan, kami bersiap mengemaskan peralatan untuk pulang. Tiba-tiba enjin kenderaan tidak dapat dihidupkan, sedangkan semua guru bertugas dan para pelajar telah pulang ke rumah masing-masing. Yang tinggal hanyalah kami bertiga petugas Unit Bergerak BSN iaitu Ustaz Haji Ibrahim, Yahya dan saya. Mahu tak mahu terpaksalah kami menolaknya. Kenderaan berkenaan ialah van Ford Transit yang menggunakan disel sebagai bahan bakar bagi menghidupkan ejinnya dan terlalu berat. Penatnya hanya Allah sahaja yang tahu! Hairannya beberapa ketika kemudian kenderaan berjaya dihidupkan dengan kaedah biasa.

Peristiwa kedua berlaku ketika Unit Bergerak dijemput oleh Jabatan Penerangan Daerah Baling untuk menyampaikan ceramah berkaitan produk-produk BSN di sebuah kampung di sana. Kami pergi bertiga dengan menggunakan kenderaan yang sama juga.

Mengikut jadual, progarm berkenaan berlangsung diwaktu malam. Jadi pada sebelah siangnya kami mengadakan lawatan bertujuan membuka akaun atas undangan sebuah sekolah dalam daerah Baling. Bagi melanjutkan tugas, kami bermalam di Rumah Rehat Baling betul-betul berhampiran dengan Masjid Ridhwaniah di pinggir pekan Baling yang hanya disempadani oleh sebatang jalan tar kecil.

Seperti dijadualkan, kami pergi ke kampung berkenaan yang terletak di Mukim Siong dan khabarnya tidak jauh daripada Kampung Memali tempat yang berlaku peristiwa berdarah tidak lama dahulu. Cuaca pada malam itu tidak begitu baik di mana hujan mulai turun yang pada mulanya renyai-renyai kemudian menjadi bertambah lebat. Oleh kerana jadual telah diatur, kami terpaksa juga memenuhinya. Jalan masuk untuk pergi ke tempat yang telah dijadualkan selain sempit tidak pula diturap dengan tar. Tanpa disedari, kenderaan kami terlanggar tunggul yang terbonjol di tengah jalan sebelum merempuh tunggul langsat setinggi kira-kira 7 meter di pinggir jalan pada sebelah kiri menyebabkan bahagian hadapan kenderaan kemik. Nasib kami agak baik kerana lampu besar tidak rosak. Seperkara lagi ialah berkaitan dengan kecekapan pemandu kenderaan.

“Kalau saya tidak memaut steering dengan kuat ke sebelah kiri kita barangkali tercampak ke dalam gaung di sebelah kanan,” kata Yahya.

Memang benar telahannya itu kerana pada sebelah siang kami telah membuat tinjauan terlebih dahulu di tempat berkenaan dan mendapati ada gaung pada sebelah kanan jalan. Anehnya sewaktu tinjauan itu dibuat, kami tidak perasan kewujudan bonjolan tunggul yang telah dilanggar itu. Mungkin disebabkan pandangan kami hanya tertumpu pada gaung di sebelah kanan jalan berkenaan.

Dalam tahun 1986 BSN Cawangan Alor Setar berpindah ke bangunan sendiri di Jalan Tunku Ibrahim, bersetentang dengan Bangunan Tunku iaitu Pejabat UMNO Negeri Kedah yang juga disewa oleh Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) dan kini dikenali sebagai CIMB.

BSN Cawangan Alor Setar merupakan cawangan yang bertuah kerana KDYMM Sultan Kedah, Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan merasmikannya. Menteri Besar Kedah pada masa itu ialah Dato’ Seri Syed bin Tun Syed Sheh Shahabuddin yang juga masih berfungsi sebagai Pengerusi BSN.

Selepas kembali bertugas di BSN Cawangan Alor Setar mulai tahun 1990 setelah berada di Ibu Pejabat BSN Kuala Lumpur selama 25 bulan tidak termasuk di cawangan Pulau Pinang selama 8 bulan sebelumnya, saya telah diberi tugas di luar pejabat. Tugas utama ketika itu ialah menguruskan pembukaan akaun para pesawah kerana ketika itu dikehendaki setiap orang pesawah memiliki akaun BSN. Ini adalah kerana pihak LPN bercadang supaya semua subsidi harga padi diagihkan kepada pesawah menerusi akaun BSN. Kewujudan lebih 30 buah cawangan BSN di seluruh Kedah dan Perlis pada masa itu dilihat sebagai di antara kemudahan yang bakal dimanfaatkan oleh para pesawah di kawasan MADA yang mengikut perangkaan berjumlah melebihi 80,000 orang.

Selain menguruskan pembukaan akaun, disebabkan saya pernah terlibat dengan operasi penerangan bersama Ustaz Haji Ibrahim dahulu, saya juga turut memberi ceramah kepada orang ramai berkaitan produk bank yang memberi banyak kemudahan kepada pendeposit. Bersama-sama Encik Shamsudin Hassan, yang mahir berceramah, saya mengambil peranan bagi menerangkan kaedah penggunaan Kad ATM.

Ketika menyampaikan ceramah saya turut menjelaskan perkara berhubung dengan perkhidmatan Giro di mana pendeposit boleh mencarum wang di dalam Tabung Haji tanpa perlu membawa wang tunai kerana ia terdedah kepada kejadian rompakan. Dengan menggunakan kemudahan Giro, pendeposit hanya perlu membuat Arahan Tetap di mana nilai wang akan dipindahkan secara elektronik yang terjamin keselamatannya.

Ketika berdialog dengan pesawah yang mengikuti penerangan, mereka ada mencadangkan supaya pembayaran tidak terhad kepada subsidi sahaja, malah harga padi juga sepatutnya disalurkan pembayarannya menerusi akaun BSN.

“Alangkah baiknya jika bayaran harga padi yang dijual itu dimasukkan terus ke dalam akaun. Lepas tu bolehlah kami balik ke rumah bagi membuat kerja-kerja yang lain,” cadang wakil mereka pada salah satu program ceramah yang saya turut terlibat.

Perolehan hasil kemasukan subsidi membolehkan peruntukan urusniaga setiap hari kaunter menyebabkan BSN Cawangan Alor Setar tidak perlu diminta dipindahkan wang (TT) daripada Ibu Pejabat BSN di Kuala Lumpur. Sebaliknya simpanan BSN yang ada di Bank Negara Alor Setar pula yang terpaksa dikembalikan ke Ibu Pejabat BSN di Kuala Lumpur.

Jika difikirkan secara rambang, andainya cadangan supaya bayaran harga padi dibuat menerusi akaun seperti yang dicadangkan itu sudah tentulah bukan sedikit perolehan BSN.

Setelah semua pesawah di kawasan MADA memiliki akaun, kami melanjutkan operasi kepada pesawah-pesawah di luar MADA pula. Antaranya ialah di Merbok, dekat Bedong dan Malau, berdekatan Kulim. Akhir sekali ialah di daerah Baling.

Operasi di beberapa buah kilang di berdekatan pekan Sungai Petani dan Jitra bagi membolehkan gaji kalangan pekerjanya disalurkan menerusi akaun BSN merupakan di antara aktiviti yang terhitung berjaya. Di samping itu, lawatan ke sekolah-sekolah bertujuan membuka akaun para pelajar masih berterusan.

Beberapa waktu kemudian, terdengar desas desus bahawa BSN akan menjalankan tindakan bertujuan mengurangkan jumlah kakitangan.

Sebelumnya terdengar berita bahawa BSN akan melaksanakan Skim Persaraan Sukarela (VSS) dan kakitangan yang telah bertugas melebihi 30 tahun. Tetapi cadangan bagi melaksanakannya tidak diluluskan setelah dikemukakan sebanyak 2 kali kepada Kementerian Kewangan.

Saya menerima surat daripada Jabatan Pengurusan Sumber Manusia (JPSM) bilangan BN/BSM/SULIT/TT/664(5) bertarikh 29.5.2007 memaklumkan bahawa prestasi kerja saya tidak memuaskan bagi tahun-tahun 2004, 2005 dan 2006. Sehubungan itu saya diminta menyatakan secara bertulis (SURAT TUNJUK SEBAB) dengan menyatakan alasan dan sebab mengapa tindakan tatatertib tidak wajar diambil terhadap saya.

Seperti yang dikehendaki, menerusi surat bertarikh 5.6.2007, saya telah memberikan jawapan bahawa serangan angin ahmar (strok) mulai 17.9.1999 yang menyebabkan saya hilang upaya iaitu lumpuh sebahagian badan dan tidak berupaya menggunakan tangan kanan untuk menulis dengan sempurna.

Bagaimanapun saya masih boleh memanfaatkan gunatenaga dengan menggunakan komputer semenjak kembali bertugas mulai Mac 2000. Sementara bidang tugas yang diberikan kepada saya untuk tempoh yang dinilai iaitu tahun-tahun 2004, 2005 dan 2006 memerlukan saya banyak menulis dan bertutur, manakala kes-kes yang dipertanggungjawabkan pula adalah yang bersifat kritikal.

Malangnya alasan yang saya berikan itu tidak memuaskan hati pihak pengurusan BSN. Lalu pada 19.6.2007 lebih kurang jam 9.15 pagi saya telah dipanggil oleh pengurusan BSN Alor Setar untuk menemui pegawai daripada JPSM, Ibu Pejabat BSN, Kuala Lumpur, Encik Masriza bin Zakaria. Dalam pertemuan tersebut saya telah diminta memilih salah satu syor berikut:

1. Menulis surat kepada BSN untuk meletak jawatan ATAU
2. Menerima Tindakan DI (Ditahan Untuk Siasatan).

Saya telah diberi tempoh sehingga 26.6.2007 untuk membuat pilihan, tetapi tiada kenyataan bertulis yang diberikan. Sehubungan itu menerusi sepucuk surat bertarikh 20.6.2007 saya telah meminta agar diberikan surat pengesahan berkaitan hal tersebut secara hitam putih dan jawapannya telah saya perolehi menerusi surat BN/BSM/SULIT/TT/664/(13) bertarikh 22.6.2007.

Selanjutnya menerusi surat BN/BSM/SULIT/TT/664/(14) bertarikh 3.7.2007 saya telah dimaklumkan bahawa pihak bank mendapati penjelasan yang telah di berikan menerusi surat bertarikh 5.6.2007 itu tidak memuaskan pihak pengurusan BSN. Lantas saya digantung tugas dan diarahkan supaya menghadiri perbicaraan dalaman pada 20.7.2007 di BSN Alor Setar. Menerusi surat tersebut saya tidak dibenarkan berada di premis BSN sehingga diberitahu kelak kecuali telah mendapat kebenaran bertulis daripada JPSM.

Larangan tersebut sangat biadap! Pihak pengurusan BSN beranggapan seolah-olah saya telah melakukan kesalahan pecah amanah. Pada hal demi Allah semenjak bertugas dengan BSN lebih tiga dekad silam saya tak pernah melakukan perbuatan keji itu.

Sebagai mematuhi arahan, saya telah menghadiri perbicaraan dalaman seperti yang dikehendaki. Dalam perbicaraan tersebut Pegawai Pendakwa BSN, Encik Mohmad Kamal Hanafiah Abdul Karim menyatakan bahawa saya telah tidak lagi berminat untuk berkhidmat dengan BSN.

Keputusan yang diterima menerusi surat BN/BSM/SULIT/TT/664(24) bertarikh 8.8.2007 yang ditandatangani oleh salah seorang Timbalan Pengurus Besar BSN, Puan Norazian Ahmad Tajuddin itu memang sudah diduga. Mengikut keputusan Jawatankuasa Tatatertib BSN yang bersidang pada 1.8.200 saya didapati bersalah dan ditamatkan perkhidmatan mulai 8.8.2007.

Dengan angkuh, pihak pengurusan BSN mengarahkan saya mengembalikan semua harta benda milik BSN seperti Kad PM/Care, Kad Pekerja, Kad Kuasa dan lain-lain sebelum atau pada 14.8.2007. Arahan berkenaan masih tidak saya penuhi kerana sebahagiannya ada di pejabat. Tetapi saya tidak menerima sebarang kebenaran bertulis daripada JPSM untuk memasuki premis BSN. Inilah persoalan yang membingungkan saya. Juga saya diminta supaya menjelaskan segala hutang jika ada.

Memang saya masih mempunyai hutang Pinjaman Perumahan di BSN. Tetapi bagaimana saya hendak menjelaskannya? Untuk belanja makan setiap haripun terpaksa ditanggung dengan gaji isteri yang bertugas sebagai guru. Manakala saya sudah tiada lagi pendapatan setelah ditamatkan perkhidmatan sekalipun tarikh sebenar mengikut syarat perkhimatan ialah pada 23.5.2007.

Di sisi Islam benar hal begini adalah ditegah. Tetapi apa yang boleh saya buat kerana untuk melaksanakan sebarang kerja tentulah tiada siapa yang bersedia menerima ‘orang kurang upaya’ (OKU) seperti saya. Segala dosa bersabit dengan tegahan tersebut mudah-mudahan Allah pikulkan ke atas bahu pihak pengurusan BSN.

Kelonggaran telah diberikan kerana saya dibenarkan mengemukakan rayuan bertulis dalam tempoh 14 hari dari 8.8.2007 iaitu tarikh surat KEPUTUSAN JAWATANKUASA TATATERTIB. Namun rayuan bertulis tersebut langsung tidak dilayan!

Demikian tragedi yang terpaksa saya hadapi setelah lebih tiga dekad bertugas di BSN, sebuah agensi Kementerian Kewangan yang sebelum ini pernah mempunyai lebih 600 buah cawangan di seluruh Malaysia. Kini jumlah cawangan telah mengecil kepada sekitar 300 buah iaitu separuh daripada jumlah yang pernah wujud dan tidak mustahil akan bertambah kecil yang menjurus kepada pengakhiran riwayat BSN yang kini telah tersasar daripada matlamat asalnya. Menariknya ialah tragedi konspirasi sedemikian berlaku ketika Malaysia berada di ambang usia 50 tahun merdeka.

Hasil tinjauan, saya dimaklumkan tidak kurang 40 orang kakitangan BSN telah menerima nasib seperti yang saya alami itu. Apa yang menyedihkan ada di antaranya masih muda dan terpaksa menanggung anak-anak yang masih kecil serta masih bersekolah – modal insan yang sering dilaung-laungkan oleh kalangan pemimpin. Lebih memilukan ada di antara isteri mereka itu tidak bekerja. Sewajarnya Perdana Menteri yang juga memegang potfolio Menteri Kewangan Satu turut memantau situasi konspirasi tersebut!

Pebicaraan Dalaman bukanlah bertujuan untuk mengamalkan sikap adil dan telus, sebaliknya bagi memaksa kakitangan yang dikenakan pertuduhan mengaku bersalah berpunca daripada prestasinya merosot.

Faktor kesihatan langsung tidak diambilkira, sedangkan ia sangat-sangat mempengaruhi prestasi seseorang.

Berkaitan dengan hal ini saya teringat ketika mula-mula berkhidmat di Tingkat 3, Bangunan Persekutuan, Jalan Sultan, Petaling Jaya dahulu yang mana di situ ada seorang kakitangan keturunan India berjawatan Ketua Kerani, K. Laksman namanya. Beliau merupakan ‘orang kurang upaya’ (OKU) selepas mengidap demam kepialu sehingga tidak berupaya melakukan tugas berat serta gagal berkomunikasi.

Itu pada era 1960-an dan 1970-an pada melenium lalu. Kini ketkia kita sedang meniti milenium baru, budaya kenang budi, hormat menghormati, peri kemnusiaan, pengalaman rupanya tidak lagi digunapakai. Mungkin inilah sebabnya generasi kini semakin biadap dan mengamalkan budaya ganas dan amalan gengsterisme yang bakal meruntuhkan tamadun.

Lalu saya teringat sebuah lagu yang didendangkan oleh Tan Sri P Ramlee iaitu Hujan Di tengah Hari yang ungkapan akirnya menyebut:

Kusangka panas sampai ke petang
Rupanya hujan di tengah hari

Juga saya teringat akan sebuah pepatah Melayu yang mengungkapkan:

Hujan sehari menghapuskan panas setahun.