Wednesday, May 21, 2008

KAYA BUKAN DI SEGI MATERIAL SAJA.

MEMBACA blog Sdr Mohd Sayuti Omar (http://msomelayu.blogspot.com) berkaitan peingatan arwah ayahnya, Omar bin Othman dengan madah; hina besi kerana karat, hina manusia kerana miskin lantas mengingatkan saya terhadap tafsiran saya tentang miskin sebelum ini.
Dulu saya menyangka bahawa jika tidak memiliki duit atau material seseorang itu dianggap miskin dan tentulah dipandang hina oleh anggota masarakat. Persepsi saya juga menyatakan kekayaan material itu membahagiakan.
Namun sebenarnya ia tidak begitu tepat. Memiliki pengetahuan yang banyak juga adalah kekayaan, sementara kesihatan adalah kekayaan yang tidak ternilai harganya.
Saya menydarinya selepas diserang strok pada 17.9.1999 sehingga mengakibatkan sebahagian badan lumpuh dan terlantar di rumah selama 6 bulan. Alhmdulillah kini saya semakin pulih dan berupaya memandu motokar.
Sebagai di antara tanda bersyukur, saya sedang menyusun sebuah buku sepanjang 18 bab menceritakan pengalaman peribadi untuk dipasarkan selewat-lewatnya awal tahun 2009 akan datang. Sementara itu, sebahagian daripadanya bolehlah dibaca dalam blog saya dengan menjenguk http://asalbayu-bangkitsemula.blogspot.com

Baca Buku BANGKIT SEMULA

Maaf.

Saya tidak dapat meneruskan bab-bab berikut kerana ia akan direalisasikan sebagai sebuah buku. Bab-bab yang telah dimuatkan dalam blog ini adalah 1/3 daripada isi kandungan buku berkenaan. Oleh yang demikian, dapatkan buku tersebut bila ia dipasarkan kelak.

Ingatan tulus ikhlas dari

ABDUL HALIM YAACOB, PJK.

Tuesday, May 20, 2008

06: BANGKIT SEMULA SETELAH JATUH


SEPERTI dinyatakan terdahulu, setelah kira-kira 6 bulan terlantar di rumah, saya kembali ke pejabat dan tarikhnya kalau tidak silap ialah pada 20.3.2000. Oleh kerana saya masih tidak dapat memandu motokar, terpaksalah saya menaiki motokar yang dipandu oleh isteri saya. Dia bertugas sebagai guru yang memulakan tugas pada kira-kira jam 7.35 pagi, sementara waktu pejabat saya bermula pada jam 8.30 pagi. Dengan itu saya merupakan kakitangan paling awal tiba di pejabat setiap hari.

Ketika masih berada di rumah saya telah mengatur rancangan untuk melakukan senaman dengan beberapa peralatan yang telah dibekalkan oleh Kelab Sukan dan Riadah (KSR) kembali apabila ke pejabat nanti. Apa yang saya harapkan ialah peralatan itu masih berkeadaan baik dan berada di tempatnya. Antaranya ialah basikal senaman, alat yang menerupai aktiviti mendayung perahu dan beban untuk aktiviti angkat berat.

Meskipun masih berjalan dengan menggunakan tongkat keluli tapak empat yang dibeli di Unit Fisioterapi HAS dahulu, saya menjalani latihan senaman dengan alat-alat tersebut setiap pagi. Ia berlangsung agak lama iaitu sehingga selepas waktu pejabat bermula dan kemeja yang saya pakai lencun dibasahi peluh. Oleh kerana kemeja tersebut akan saya pakai di sepanjang hari menyebabkan timbul rasa kurang selesa. Bagi mengatasinya, saya telah menyediakan T-shirt untuk dipakai apabila menjalani senaman.

Bila tiba waktu makan dari jam 1.00 hingga 2.00 petang saya tidak berupaya pergi makan di restoran berdekatan. Langkah yang diambil ialah dengan membawa bekalan makanan dari iaitu beberapa keping roti (sandwich slice) yang telah disapu kaya di samping satu tabung air Milo. Beberapa bulan kemudian bekalan minuman saya ialah kopi yang mengandungi ubi bit merah (red beet) yang di campur dengan makanan juga berasaskan ubi bit merah. Kesan yang dirasakan selain dapat mengatasi lapar ialah bila pembuangan air kecil yang lawas iaitu salah satu masalah yang telah lama saya hadapi iaitu ketika masih di desa lagi.

Selain itu saya dapati menggunakan tongkat untuk berjalan agak menggangu pergerakan terutama sewaktu menaiki dan menuruni tangga. Oleh itu saya meninggalkannya untuk berjalan tanpa bantuan tongkat. Pada mulanya ia agak sukar dan ada rakan sepejabat yang menasihatkan saya supaya menggunakannya semula. Namun saya tetap enggan berbuat demikian.

“Sampai bila saya nak bergantung kepada tongkat?” kata saya kepada mereka.

Ketika itu saya teringat akan kata-kata salah seorang Juru Pulih Anggota di Unit Fisioterapi HAS dahulu bahawa jika saya rajin bersenam, lama kelamaan saya tidak lagi memerlukan tongkat.

“Kami di unit ini hanya boleh memberi nasihat dan tunjuk ajar saja. Pesakit sendiri mesti kuatkan semangat dan sepatutnya ada inisiatif untuk berlatih sendiri bila berada di rumah,” katanya.

Biarpun tidak dapat menggunakan pen atau pensil, saya begitu bersyukur kerana ada sedikit kebolehan menggunakan aplikasi komputer. Sejak dahulu lagi saya memang berminat dengan aplikasi komputer kerana ia memudahkan saya untuk berkarya. Ketika diserang strok pada 17.9.1999 dahulu saya baru beberapa hari menjalani kursus di kelas komputer supaya lebih mahir dalam aplikasi komputer di sebuah pusat latihan swasta Alor Star dan pihak Universiti Malaya akan mengeluarkan sijilnya. Dengan sedikit kebolehan itulah saya dapat menjalankan tugas harian.

Bila tugas telah selesai, saya menghilangkan rasa bosan dengan membaca apa juga buku yang dibawa dari rumah setiap pagi. Dengan sendirinya terbit hasrat di hati untuk menulis ulasan agar ia dapat disiarkan di akhbar. Untuk menyertakan gambar kulitnya bukanlah suatu masalah kerana sebelum diserang strok dahulu pun ada saya mengambil gambar fotonya bagi tujuan yang sama tetapi tidak sempat menyempurnakan. Menulis ulasan buku merupakan di antara genre yang amat saya gemari sejak lama dahulu biarpun ada di antarnya tidak dibayar saguhati atau honorarium.

Selain ulasan buku, saya juga telah mula kembali ke arena persuratan dengan menulis beberapa buah rencana terutama bekenaan kegiatan teater di Alor Setar. Ada di antranya saya tidak dapat menyaksikannya sendiri tetapi dapat pula menghuraikannya dengan agak panjang. Saya menganggapnya sebagai di antara terapi bagi memulihkan fungsi otak kerana biarpun tanpa sebarang catatan, ia dapat ditulis berdasarkan kepada ingatan semata-mata.

Penglibatan saya di arena sastera kreatif dan persuratan sebenarnya telah berlangsung secara serius semenjak tahun 1977 lagi. Biarpun tidak banyak sastera kreatif seperti sajak dan cerpen yang dapat dihasilkan, tetapi saya pernah menjadi pemberita sambilan dengan akhbar Watan suatu waktu dahulu di samping menyumbangkan rencana kepada akhbar-akhbar lain juga.

Mutu vokal saya masih kurang sempurna ketika saya kembali semula ke pejabat untuk meneruskan tugas mengikut kemampuan.

Sebilangan rakan-rakan sepejabat mengatakan saya mengalami pemulihan dengan cepat juga. Saya memaklumkan bahawa itu adalah kudrat serta kehendak Allah s.w.t. Yang Maha Adil kerana setiap penyakit yang diturunkan kepada hamba-hambanya berserta dengan penawarnya iaitulah semangat. Kepada mereka saya jelaskan bahawa kita dilahirkan untuk menang.

Contoh yang paling ketara ialah proses yang kita lalui sejak masih bayi. Kita belajar meniarap, menyulur, merangkak, berdiri, berjalan, berlari dan kemudian menonggang basikal yang hanya mempunyai dua roda tetapi kita dapat mengimbanginya dan mengendarainya ke sana ke sini. Apa yang mesti disematkan dalam jiwa kita ialah tiada yang mustahil, dan andainya keyakinan subur dalam jiwa kita, kita boleh mencapai apa jua matlamat.

Sehubungan dengan itu, saya ingin berkongsi pengalaman dengan mereka iaitu bagaimana saya boleh bangkit semula setelah jatuh. Pada hal ketika terlantar di rumah sering saya merenung sepasang sepatu di atas rak yang telah diselaputi debu dan jaring labah-labah. Sambil itu dengan perasaan sayu, hati saya berbisik mengatakan bahawa saya tidak lagi berupaya menyarungkannya. Sepatu itu pernah digilap untuk dipakai ke pejabat atau majlis-majlis resmi suatu ketika dahulu.

Bagi tujuan berkongsi pengalaman, saya menyediakan risalah lalu salinan fotostatnya diedarkan kepada sesiapa sahaja dengan jumlah yang bukan sedikit. Namun begitu hampir tiada langsung yang ingin mengambil iktibarnya. Bahkan ada di antara rakan-rakan sepejabat yang mengoyak lalu membuangkannya ke dalam bakul sampah di hadapan mata saya sendiri.

Melihatkan itu saya sedikitpun tidak merasa kecil hati. Akan tetapi dalam hati saya berkata; mereka tak pernah merasa bagaimana sengsaranya mendapat penyakit seperti saya. Ada juga di antara mereka yang mengeluarkan kata-kata sinis konon dirinya sihat tanpa menyedari bahawa penyakit boleh datang seperti kilat pada bila-bila masa, manakala untuk pergi ia seperti pergerakan semut. Perlahan. Di samping itu ada juga dengan nada angkuh mengatakan bila sakit kemudahan hospital dengan doktor yang terbaik ada.

Saya tidak mendoakan mereka menerima musibah seperti yang saya lalui. Cuma yang saya harapkan ialah agar mereka, khususnya rakan-rakan sekerja mengambil iktibar daripada pengalaman pahit yang telah saya lalui itu.

Makanan kesihatan yang saya ambil itu wajar diambil juga oleh sesiapa sahaja terutama bagi seseorang yang masih sihat agar slogan mencegah adalah lebih baik daripada merawat dapat diamalkan. Saya mengambilnya bukan bertujuan untuk menjadikannya sebagai penawar bagi memulihkan strok. Sebaliknya ia adalah sebagai makanan bagi memperolehi tenaga supaya saya dapat melakukan senaman secara berterusan.

Setelah dihitung berdasarkan bil tunai bagi membeli produk didapati saya telah membelanjakan kira-kira RM 10,000 setahun.

Di samping mengedarkan risalah dengan tangan atau melalui pos, saya juga ada menyebarkan maklumat menerusi internet pada laman-laman tertentu. Ini adalah nikmat agenda dunia tanpa sempadan (borderless world) di era globasasi ini.

Memang tidak ramai yang memberi maklumbalas terhadap sebaran maklumat ini dan bukan pula bererti ramai anggota masyarakat buta dengan teknologi maklumat (IT), tetapi mungkin juga maklumat berfaedah begini kurang menarik.

Pun begitu saya ada juga menerima balasan mengatakan saya sewajarnya menghindari produk yang diambil itu atas alasan ia adalah produk Amerika Syarikat (US) yang merupakan penaung atau tulang belakang Israel, negara Zionis yang merupakan musuh utama umat Islam. Namun saya tetap menangkis dengan mengatakan itu adalah anugerah Allah kepada sekalian hamba-hambaNya!

Sebagai alternatifnya mereka mengesyorkan produk tempatan yang juga dikatakan hebat dan diedarkan mengikut kaedah MLM.

Seperkara yang patut disedari oleh mereka ini berkaitan dengan aktiviti jualan langsung MLM itu sendiri adalah berasal daripada Amerika Syarikat. Menurut catitan sejarah ia mula diperkenalkan pada tahun 1945 oleh Dr Karl Ramburg dan nilainya kini melebihi USD 100 bilion serta lebih 40 juta rakyat seluruh dunia terlibat sebagai penggiatnya.

Dikatakan 500 jutawan dari Amerika, 20% daripadnya terlibat dalam perniagaan MLM. Juga menurut kajian, daripada 100 syarikat gergasi terbesar, 37 terdiri daripada syarikat yang berkonsepkan MLM.

Kalau hendak diambil kira, rokok (tembakau) adalah produk Amerika Syarikat (made in USA) yang tidak membawa sebarang manfaat, bahkan mengandungi 4,000 jenis racun yang merupakan agen kanser. Kebelakangan ini semakin ramai yang menjadi penagihnya termasuk anak- anak remaja yang masih di bangku sekolah. Sepatutnya pihak-pihak tertentu, terutama kalangan penggiat MLM memperkasakan kempen anti merokok.

Era globalisasi juga menghadiahkan agenda langit terbuka (open sky) di mana kemudahan pesanan ringkas (sms) menggunakan telefon bimbit boleh digunakan bagi menyebarkan maklumat. Sungguhpun ada pihak yang menyalahgunakannya pada jalan yang kurang sihat, ia juga boleh digunakan untuk menyamapaikan maklumat berfedah cara yang berhemah. Saya menggunakannya untuk berkongsi pengalaman.

Malangnya tindakan ikhlas saya itu telah disalahmengerti oleh penerimanya. Berikutan dengan pesanan ringkas bertujuan untuk berkongsi pengalaman itu banyak juga balasan yang saya terima ialah maki hamun dan kata-kata kesat oleh pihak-pihak tertentu.

Lantas saya berperndapat ia adalah perkara kecil (remeh) dan tidak perlu difikirkan. Rasulullah s.a.w ketika menyebarkan risalah ugama Islam menerima tentangan yang lebih dahsyat dari itu. Lalu saya pendamkan rasa kesal yang bertunas di hati. Jauh daripada mendoakan mereka menerima nasib yang sama seperti saya – diserang strok - saya amat berharap agar mereka menyedari sekalipun seseorang itu aktif bersukan atau cergas melakukan sebarang gerak kerja. Sesiapa juga boleh diserang strok tanpa mengira usia, agama, bangsa atau status seseorang itu

Menurut Dr Abu Salim, pakar neurologi salah sebuah hospital swasta di ibu kota, antara penyebab strok ialah ‘anurisme sereberal’ iaitu satu bahagian yang lemah dan nipis pada dinding pembuluh darah di otak. Keadaan ini lazimnya sudah wujud semejak seseorang itu dilahirkan.

Majalah Jelita edisi Julai 2002 mendedahkan kisah seorang tokoh korporat, Mansur Mahmud yang ketika di universiti dahulu bermain rugbi dan gemar bermain bolasepak lalu kemudiannya beralih kepada golf pada tahun 1977.

Sebelum diserang strok pada tahun 1994, Puan Mimi Lim adalah seorang yang amat cergas. Menari dan mengembara ke seluruh dunia adalah kegemaran beliau yang sudah biasa bekerja 16 jam sehari mengurus pusat snuker ini. Beliau merasa rimas untuk menggunakan kerusi roda lalu melakukan senaman berteusan dan ia semakin pulih.

Berita Harian terbitan 19.2.2004 menyiarkan kisah Mohd Aris Subir, 65 tahun, seorang yang pernah memegang jawatan penting di sektor korporat dan boleh berjalan semula setelah hampir setahun diserang strok.

Begitu juga dengan Puan Norainie Taha dari Sibu, Sarawak seperti yang dipaparkan dalam Metro Ahad 22.1.2006 . Ketika masih sihat, beliau adalah seorang yang aktif bersukan termasuk mendaki gunung, berakit dan bermain futsal wanita walaupun ketika itu dia mengandung lima bulan. Agak menghairankan ialah serangan strok turut menghilangkan keupayaannya bertutur dalam bahasa Melayu dan terpaksa mempelajarinya semula. Untuk berkomunikasi dia hanya mampu menggunakan bahasa Inggeris!

Bangkit semula selepas terlantar dan lumpuh sebahagian badan. Kenytaaan yang dapat disaksikan oleh teman-teman dikatakan menakjubkan (miracle). Ada juga yang bertanyakan apa ubat yang saya ambil. Pertanyaan mereka itu saya layan dengan mengatakan saya selalu bersenam di samping mengambil makanan tambahan yang mengandungi 75 khasiat itu untuk mendapatkan tenaga.

Namun tiada siapapun yang berminat untuk mengambil produk yang saya perkenalkan itu. Selain itu saya menjelaskan bahawa pihak pengamal perubatan menyatakan tiada ubat khusus bagi penyakit strok. Sebaliknya jika mangsa strok mempunyai semangat yang tinggi serta sentiasa berdoa dan banyak bersabar dengan ujian Allah ini nescaya ia akan dapat pulih semula walaupun akan mengambil masa yang lama dan tidak semestinya pulih 100%.

Ketika menliti akhbar, saya menemui kisah seorang wanita cekal yang mengasaskan Persatuan Kebangsaan Angin Ahmar Malaysia (National Stroke Association of Malaysia - NASAM) iaitu Janet Yeo yang pulih setelah lebih 13 tahun mengalami strok. Saya menjadikan beliau sebagai idola.

Ada juga seorang pelayar internet yang menyatakan saya pulih atas faktor usia yang masih muda. Berkaitan dengan telahan ini saya kurang bersetuju kerana Allayarhamah emak saudara saya berumur 80 tahun ketika di serang strok dan hanya berupaya bergerak di dalam rumah dengan mengesot sahaja. Selepas tiga tahun hasil kekuatan semangat, dia bukan setakat berupaya berdiri, malah boleh berjalan perlahan-lahan.

05: AMARAN AWAL YANG TIDAK DIENDAHKAN!


MENURUT Allahyarhamah ibu saya, sewaktu kecil iaitu semenjak bayi lagi saya ada mengidap lelah yang mengikut istilah di desa kelahiran saya di Baling ia dikenali sebagai ‘hanik’. Selain itu saya juga sering sakit gigi yang berlubang akibat dimakan ulat.

Ada suatu pengalaman peribadi di zaman kanak-kanak berkaitan ulat gigi yang barangkali ada orang lain juga pernah mengalaminya. Di kampung saya ada seorang yang berkebolehan membuang ulat gigi secara membacakan mentera dan saya memanggilnya sebagai Pak Su Mat.

Saya yang masih belum bersekolah waktu itu telah dibawa menemuinya. Sebagai seorang kanak-kanak yang sering sakit gigi, pada mulanya saya berasa takut. Pengalaman saya, sakit gigi boleh meningkatkan suhu kemarahan sekalipun ketika mendengar ayam berketak sewaktu bertelur.

“Tak usah takut. Tak sakitpun,” pujuk Pak Su Mat.

Adik ipar Pak Su Mat pergi mendapatkan sejenis hidupan yang di desa saya kenali sebagai ‘lepek’. Ia adalah sejenis serangga yang tingal di dalam debu tanah kering bawah rumah yang terdapat sabut kelapa atau kayu reput. Bentuknya seperti lipas, tetapi saiznya berkali ganda lebih kecil daripada lipas. Warnanya hitam, belakangnya berkilat dan kulitnya pula lembut bukannya keras seperti kumbang atau bubuk.

Setelah beberapa ekor serangga itu diperolehi, ia di picit untuk memecahkan perutnya. Isi perutnya yang berwarna putih itu disapu di pipi saya yang bersetentang dengan gigi yang berlubang itu. Saya merasa jijik serta geli geleman dengan isi perut serangga yang terasa melekit dan sejuk itu. Sambil membaca mentera Pak Su Mat mengikis pipi saya yang masih dibasahi isi perut serangga tersebut dengan menggunakan bilah sembilu.

Saya merasa takjub bila diperlihatkan ‘ulat gigi’ yang masih hidup berbentuk seperti cacing yang amat halus dan masih bergerak-gerak.

“Inilah ulat yang selalu mengorek gigi kita. Insya Allah lepas ni Halim tak sakit gigi lagi,” kata Pak Su Mat.

Memang benar seperti yang dikatakan, saya tidak lagi mengalami sakit gigi seperti sebelumnya.

Berkaitan dengan penghidapan lelah pula, saya yakin ia ada kaitan dengan faktor geografi desa kealahiran saya. Rumah saya terletak di kaki bukit yang membelakangi arah matahari terbit. Oleh yang demikian, rumah saya itu lambat mendapat sinaran cahaya matahari sekalipun waktu itu jarum jam telah menunjukkan telah pukul 11.00 pagi. Sudah tentulah keadaan udaranya masih dingin dan ini akan menyebabkan sesiapa sahaja culas untuk mandi. Tambahan pula sumber air untuk mandi, membasuh dan minum adalah sebuah perigi yang juga terletak di kaki bukit dan air yang terbit dari mata air di situ amat dingin.

Jika perigi itu dibersihkan, airnya amat jernih dan boleh menggugat perasaan di waktu siang dalam bulan puasa (Ramadhan). Hal ini pernah saya alami sendiri ketika berada di bangku sekolah rendah dahulu. Setiap hari sewaktu pulang dari sekolah ketika matahari tengah rembang dan tekak pula merasa amat haus, mahu tidak mahu terpaksa singgah sekika lalu amat teruja untuk melihat airnya yang jernih itu kerana laluan untuk pulang ke rumah berdekatan dengan perigi berkenaan. Kejernihan airnya sehingga ternampak dengan ketara dasar serta ikan-ikan yang sedang berenang di dalamnya.

Oleh yang demikian tidak hairanlah saya menghidap lelah yang turut dihidapi oleh beberapa orang saudara sepupu saya. Walau bagaimanapun apbila usia saya semakin meningkat daya ketahanan badan (imunisasi) semakin kuat menyebabkan penghidapan lelah pulih.

Di sepanjang ingatan saya, ketika berada di bangku sekolah rendah hanya sekali saya diserang demam malaria Selain itu saya juga menghidap kecacingan yang akan betah selepas memakan sirap ubat cacing. Begitu juga batuk yang ada juga sekali-sekala saya deritai dan dapat disembuhkan kemudian dengan sirap ubat batuk yang diperolehi daripada Hospital Daerah Baling (HDB).

Beberapa bulan sebelum diserang strok pada 17.9.1999 saya teringat kembali akan beberapa gejala yang merupakan amaran awal telah saya rasai. Namun saya langsung tidak mengendahkannya kerana menganggap tiada perkara buruk yang akan berlaku.

Antaranya ialah sakit kepala yang amat sangat. Lazimnya ia hanya berlaku di pejabat selama tidak sampai sejam. Bila merasakan keadaan sedemikian, saya cuba untuk melelapkan mata seketika tetapi tidak dapat berbuat demikian. Anehnya sewaktu berada di rumah atau sedang menonggang motosikal tiada pula rasa sakit kepala menyerang.

Namun begitu sewaktu sedang menonggang motosikal yang lazimnya tidak melakukan perjalanan jauh, kadang-kadang penglihatan berpinau-pinau atau mengikut perkataan biasa disebut ‘pandangan berkunang-kunang’. Gejala begitu biasanya menunjukkan seseorang itu akan pitam. Bila merasa gejala sedemikian berlaku, jika sedang mengadakan perjalanan dengan motosikal saya akan berhenti di tepi jalan kerana lazimnya ia akan pulih seperti sediakala beberapa minit kemudian.

Keadaan tersebut saya rasai beberapa kali tanpa mengesyaki ia adalah petanda sesuatu yang buruk akan berlaku.

Selain itu sering juga saya mengalami rentak jantung yang tidak sekata dan kadang-kadang degupannya teramat pantas. Bila degupan jantung pantas selalunya saya akan buang air kecil dengan begitu kerap. Jika ia berlaku ketika hendak tidur badan akan berpeluh dan mata sukar di lelapkan. Degupan jantung yang pantas itu berlangsung dalam jangkamasa yang singkat sahaja dan bila dirasakan sedemikian saya akan berbaring secara menelentang lalu seketika kemudian ia kembali normal. Kesan yang saya rasai selepas degupan jantung normal semula ialah rasa sakit seketika di bahagian dada atau lebih tepat lagi di bahagian jantung.

Seingat saya degupan jantung yang pantas itu sesekali dirasakan semenjak zaman kanak-kanak, iaitu sewaktu saya masih di sekolah rendah. Sangkaan kuat saya mengatakan ia berkaitan dengan penghidapan lelah yang pernah saya lalui sewaktu saya masih bayi dan kanak-kanak sebab bila ia kembali normal saya merasa badan agak lemah di samping sebagaimana biasa akan terasa sakit sedikit di bahagian dada.

Pandangan yang berkunang-kunang pernah saya rasai beberapa kali ketika di tingkatan tiga sekolah menengah yang kadang-kadang mengambil masa yang agak lama untuk pulih. Ini akan diikuti dengan rasa sakit kepala setelah penglihatan normal semula.

Ketika memulakan pengajian di tingkatan empat, beberapa kali saya terjatuh dan tidak sedarkan diri lalu terpaksa kawan-kawan dan guru kelas saya, Cikgu Mokhtar Basharudin menghantar saya pulang ke rumah. Keluarga memang kenal baik dengan Cikgu Mokhtar kerana bapanya pernah jadi Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Habsah ketika kakak sulung saya masih bersekolah di situ, sementara bapa adalah salah seorang Ahli Lembaga Pengelolanya.

Cikgu Mokhtar kemudian jadi Guru Besar (kini digelar Pengetua) di Sekolah Menengah Kebangsaan Baling, Kedah.

Kejadian yang menimpai diri saya itu sebenarnya ada kaitan dengan makhluk ghaib yang ada di antara individu sukar mempercayainya diceritakan di dalam Al-Quran. Berikutan dengan kejadian tersebut, saya menghidap demam dan tidak dapat ke mana-mana lalu terpaksa bercuti selama tiga bulan untuk menjalani rawatan dengan seorang dukun yang ada hubungan tali persaudaraan dengan keluaga kami secara bau-bau bacang .

Kejadian yang sama berulang selepas saya bekerja dan telah berkahwin serta mempunyai anak. Alhamdulillah, perkara tersebut tidak lagi berlaku.

Dalam tahun 1978 saya merasa kurang sihat lalu pergi bertemu dengan seorang doktor di sebuah klinik swasta di Alor Setar.

“Umur baru 25 tahun, tapi blood pressure banyak tinggi,” ujar doktor berketurunan India itu. “Kalau macam ini kamu kena masuk wad. Nanti saya bagi satu surat.”

Tanpa membuang masa saya berkejar ke HAS untuk memeriksa tekanan darah bagi mendapatkan kepastian.

“Tekanan darah awak baik saja,” kata doktor yang memeriksa saya.

“Tapi baru sekejap tadi saya pergi ke klinik swasta dan diberitahu bahawa tekanan darah saya telah meningkat,” balas saya.

“Duduk di luar dulu, nanti kita periksa sekali lagi,” ujar doktor itu kemudian.

Setelah agak lama, tekanan darah saya diperiksa sekali lagi dan doktor itu memberitahu bahawa keputusan bacaan tekanan darah saya serupa dengan sebelumnya. Saya agak keliru dengan perkhabaran yang diterima itu lalu bergegas semula ke klinik tempat saya melakukan pemeriksaan sebelum ke HAS tadi untuk mendapatkan surat seperti yang dijanjikan.

Tiga hari kemudian, saya membawa surat berkenaan pergi ke HAS dan membuat pemeriksaan bagi mendapatkan bacaan tekanan darah. Saya yang ketika itu masih bujang kemudian dimasukkan ke wad dan diberi makan dua kali sehari yang diistilahkan sebagai ‘low salt, low fat’. Selain itu saya juga diberi dua jenis ubat (dadah) yang dikenali sebagai “bethaloc” dan “mini press”.

Saya tinggal di wad HAS selama dua minggu dan dibenarkan pulang setelah ditetapakan agar memenuhi temujanji di Klinik Perubatan, Unit Rawatan Lanjutan (MFUC) HAS setaip dua minggu sekali pada jam 2.00 petang. Doktor menasihatkan agar saya mengawal makanan dengan mengurangkan garam dan santan serta daging terutama bahagian yang mengandungi lemak.

Kesan yang wujud setelah mengambil dua jenis ubat yang diberi oleh pihak hospital itu ialah rentak jantung saya selalu pantas. Selepas beberapa tahun iaitu selepas berkahwin dan mempunyai seorang anak, saya mendapati badan saya selalu berpeluh ketika tidur sehingga tilam tempat saya tidur itu menjadi hitam. Badan saya juga dinaiki ruam dan terasa panas biarpun setiap hari berada dalam pejabat berhawa dingin di samping sering buang air selepas kira-kira setengah jam selepas makan.

Perkara ini saya jelaskan kepada doktor di sebuah klinik swasta. Dia menasihatkan agar saya membuat pemeriksaan di HAS kerana katanya terdapat gejala-gejala saya menghidap tiroid (thyroid).

Setelah diperiksa, doktor di HAS memaklumkan ia mungkin kesan ke atas pengambilan mini press, lalu pemberiannya di hentikan. Tetapi bethaloc pula dijangka boleh menyebabkan penghidapan lelah yang pernah dialami sewaktu zaman kanak-kanak dahulu berulang. Namun saya perlu mengambil ubat bagi mengawal tekanan darah tinggi. Mahu tidak mahu saya bersedia menerima risiko menghidap lelah jika ia berbalik semula.

Beberapa tahun kemudian saya menghidap demam yang teruk. Badan terasa sejuk walaupun memakai baju tebal sehingga saya meminta agar isteri memanggil ambulan.

Sekali lagi saya menjadi penghuni wad HAS tetapi selama kira-kira seminggu sahaja. Sewaktu dimasukkan ke wad saya disuruh menanggalkan baju tebal dan tidur dibawah kipas siling yang sedang berputar ligat. Apa yang menghairankan ialah setelah mematuhi suruhan doktor suhu badan saya mulai turun dan demam yang dialami beransur sembuh. Hanya tekak saya sahaja berasa berselaput dan setelah diperiksa memang terdapat gejala tiroid.

Bagi mengesahkannya, contoh darah saya perlu diambil lalu dihantar ke makmal swasta di Pulau Pinang dengan dikenakan sedikit bayaran kerana mesin untuk menguji darah di HAS rosak ketika itu.

Tekanan darah saya masih belum normal dan saya masih mengikuti jadual pengambilan ubat di samping diberikan ubat yang jika tidak salah dikenali sebagai ‘carbimazole’ selama beberapa tahun. Setiap bulan saya dikehendaki memenuhi temujanji bagi membuat pemeriksaan di Klinik Perubatan, Unit Rawatan Lanjutan (MFUC) HAS.

Amaran yang mengingatkan saya tentang kemungkinanan diserang strok berterusan, tetapi saya tidak mengendahkannya kerana kurang pengetahuan mengenai perkara tersebut. Selepas mendapat strok barulah saya merasakan pengetahuan tentang hal itu penting. Lalu apa sahaja maklumat yang tersiar di media cetak (majalah atau akhbar) dan penerangan menerusi media elektronik (radio dan televisyen) menarik perhatian saya.

Mantan Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng pada sidang media selepas merasmikan Rumah NASAM (Persatuan Angin Ahmar Malaysia) di Petaling Jaya (1.8.2000) menegaskan, purata serangan angin ahmar di negara ini dianggarkan 2 bagi 1,000 orang. Ini menunjukkan bahawa 46,520 orang diserang angin ahmar setiap tahun.

Antara tanda-tandanya ialah: sakit kepala, penglihatan kabur, kebas di beberapa bahagian tubuh dan sukar bertutur. Golongan yang terdedah kepada risiko atau berpotensi di serang angin ahmar meliputi pesakit kencing manis, peghidap tekanan darah tinggi dan mereka yang mempunyai kolesterol tinggi.

Kajian Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 1995, sebanyak 47% pesakit angin ahmar terlantar di katil selepas menjalani rawatan dan 22% lagi terpaksa menggunakan kerusi roda. Sementara itu, 86% bekas pesakit angin ahmar menghadapi masalah untuk makan, 36% masalah pertuturan dan 32% lagi masalah pundi-pundi kencing.





Monday, May 19, 2008

APA STRTEGI DR MAHATHIR KELUAR UMNO?

KEMLUT yang sedang melanda UMNO nampaknya kian runcing apabila mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beliau meninggalkan parti itu. Namun beliau menasihatkan mana-mana individu yang mengikut jejaknya itu tidak menyertai mana-mana parti politik.
Sudah tentu khabar sensasi ini membingungkan sesetengah pihak kerana sebelum ini dikatakan hanya UMNO yang layak memperjuangkan bangsa, agama dan tanah air. Malah sewaktu berada di kerusi orang No 1 dahulu beliau begitu menyayangi UMNO lalu menyerang habis-habisan parti lawan terutama PAS.
Bila keadaan ini berlaku, penulis yakin pihak yang paling gembira tentulah PAS yang kini sedang berusaha memperkemaskan Pakatan Rakyat (PR) bersama rakan-rakannya, DAP dan PKR.
Isteri penulis lantas bertanya, "Jika orang-orang yang keluar UMNO dinasihatkan agar tidak menyertai mana-mana parti apa pula kesudahannya?"
Penulis menjelaskan, "Dalam politik macam-macam boleh terjadi."

Sunday, May 18, 2008

04: KEAJAIBAN ANUGERAH ALLAH.

SETELAH kira-kira tiga bulan mengambil produk yang telah di perkenalkan oleh Encik Hashim itu saya telah merasakan diri agak mantap untuk berdiri. Namun keupayaan untuk berjalan masih belum diperolehi dengan sempurna kerana terpaksa dipapah. Mutu vokal saya juga masih kurang sempurna dan mungkin ramai yang mendengarnya sukar memahami apa yang dituturkan.

Meskipun boleh dikatakan saya baru mengenali Encik Hashim, dia cepat mesra dengan kami sekeluarga. Kerap juga dia mengunjungi rumah kami dan kadang-kadang teman-temannya berketurunan Cina selain Mr Ang akan ikut serta..

Pada suatu perjumpaan (opportunity meeting) dia mengajak saya ikut serta. Saya merasa kasihan kepadanya kerana terpaksa membongkok untuk memapah saya yang jauh lebih rendah daripadanya untuk ke dewan perjumpaan di tingkat atas rumah kedai Pekan Simpang Kuala, Alor Star yang tidak jauh kedudukannya dengan rumah kami. Ketika menuruni dan menaiki anak tangga yang agak curam itu juga saya terpaksa di awasi kerana dikhuatiri terjatuh.

Sesungguhnya produk yang berasaskan lidah buaya (aloe vera) itu merupakan di antara herba anugerah Allah kepada hamba-hambanya yang sungguh menakjubkan.

Isteri saya menghadapi masalah keputihan dan kitaran haidnya tidak teratur lalu menyebabkan dia mengalami early menopause. Ini mengakibatkan dia sering merasa sakit kepala, badan tidak berpeluh dan mukanya juga kelihatan pucat. Selepas beberapa hari mengambil produk itu, masalah keputihannya kian pulih, manakala kitaran haidnya kembali normal. Paling menggembirakannya ialah kitaran haidnya pulih seperti sediakala. Selain itu, wajahnya kelihatan berseri semula di samping badan pula mulai berpeluh.

Masalah yang sama rupa-rupanya pernah dialami oleh beberapa orang yang juga akhirnya menjadi pengedar produk berkenaan. Begitulah apa yang diberitahukan kepada saya.

Selepas menghadiri perjumpaan buat kali pertama itu, saya telah dibawa oleh Encik Hashim beberapa kali ke dewan tersebut. Pada setiap kali perjumpaan, Mr Ang mengambil peranan penting bagi mengadakan demonstrasi produk. Diperlihatkan bagaimana air paip sekarang yang tidak lagi berfungsi sebagai pengalir arus elektrik. Setelah cecair aloe vera gel dicampurkan kepada air yang digunakan itu barulah arus elektrik dapat mengalir melaluinya.

Seorang lagi Sally Tan namanya telah pulih daripada penghidapan kanser otak setelah mengambil produk lidah buaya pada kadar yang banyak. Mengikut cerita yang disampaikannya sendiri, dia adalah seorang pengedar bahan-bahan makanan dan telah disahkan oleh doktor menghidap kanser otak. Menurut doktor yang pernah merawatnya itu, oleh kerana penghidapan kansernya itu sedang berada di peringkat serius (end stage) jangka hayatnya juga dikatakan singkat.

Setelah memperolehi berita tersebut, fikirannya menjadi buntu. Sementelah memikirkan dua orang anaknya yang masih kecil dan memerlukan belaian seorang ibu. Beliau kemudian diperkenalkan dengan produk ajaib itu tetapi masih kurang yakin untuk mengamalkannya lalu disimpan sahaja di rumah.

Pada suatu hari ketika menghantar barang-barang yang diniagakan, dia tersungkur lalu pengsan dan dihantar ke hospital. Badannya kian kurus kerana terlalu runsing di samping penghidapan yang dideritainya.

Setelah keluar daripada hospital, Sally bertekad untuk mengambil produk lidah buaya. Khabarnya dia meminumnya setengah botol sehari. Kapasiti sebotol produk lidah buaya ialah 1 liter. Beberapa bulan kemudian setelah mengamalkan produk itu dia merasakan bahawa badannya bertambah sihat. Dengan situasi sedemikian dia mulai yakin kesihatannya akan pulih sepenuhnya jika berterusan mengambil produk berkenaan dan sekali gus akan menyanggah pendapat doktor yang mengatakan yang dia akan menemui ajal dalam tempoh yang singkat.

Menurut cerita kalangan kenalannya dia hanya bersekolah setakat darjah 4 dan hanya berkebolehan menulis namanya selain menandatangani resit jualan sahaja . Tetapi kini dia sudah boleh menguasai tulisan serta mampu membaca apa-apa sahaja risalah atau surat khabar setelah dia berusaha keras untuk memperolehi kemahiran tersebut.

Dalam suatu majlis sambutan di mana terdapat pulut sebagai salah satu juadahnya, Sally menegah saya memakannya kerana dikhuatiri boleh memudaratkan diri saya yang kian pulih.
Selain produk lidah buaya, terdapat tiga jenis produk lebah dalam bentuk tablet untuk dikunyah (chewable). Ketiga-tiganya juga tidak kurang ajaib meskipun ada pihak-pihak tertentu cuba menyanggahnya. Di samping itu, madu lebah asli yang tidak perlu diperincikan khasiatnya juga turut dipasarkan.

Sepintas lalu mengenai produk tersebut adalah seperti berikut:

Jeli Raja (Royal Jelly)

Dr Richard Needel seorang pakar pemakanan daripada Amerika Syarikat merumuskan hasil kajiannya berkaitan dengan jeli raja ini seperti berikut:

For over 10,000 years, ROYAL JELLY has been known as the world's most complete nutrient food, “The Perfect Food”. All of the 22 elements needed by the human body for perfect health are in the Royal Jelly.

What is Royal Jelly?

Queen bees are made, not born, and their feeding with Royal Jelly is the key to that process. Without this special food, queen bees would fail to develop properly. Royal jelly is a thick, extremely nutritious, milky-white, creamy liquid secreted by the hypopharyngeal glands of the nurse bees. Queen bees live exclusively on Royal Jelly and it accounts for their incredible size and longevity. They average 42% larger and weight 60% more than the worker bee. Amazingly, they live 40 times longer than worker bees, seven years as compared to seven weeks. In the wild, Queen bees will produce 2,000 eggs per day with each day's brood equal to 2½ times her own body weight.

Researchers at Valhalla, New York, have found that royal jelly contains a complex compound that stimulates glands and normalizes the reproductive systems of both men and women and acts as a natural hormone. Other studies have shown that chickens, pigs, and roosters grew larger, lived longer, and showed greater fertility and became more sexually active after being fed royal jelly.

Bee Pollen.

Merupakan sumber makanan yang amat baik bukan sahaja kepada lebah tetapi juga manusia kerana ia sedia terhadam dan merupakan sumber nutrien yang sangat pekat.
Penggalak tenaga – sedia hadam dan mudah meresap
Kaya dengan nutrien semulajadi – vitamin, galian, asid amino dan enzim.
Disyorkan untuk digunakan sebagai makanan tambahan. Juga sesuai untuk membantu mempercepatkan pemulihan secara umum.

Seorang pesara daripada Amerika Syarikat bernama Noel Johnson telah menulis sebuah autobiorafi bertajuk A Dud at 70 ... A Stud and 80 - And how to do it! Menceritakan pengalaman peribadi beliau berhubung dengan kesan pengambilan bee pollen sebagaimana catitan pada kulit buku berkenaan:

In 1964, retired at age 54, Noel Johnson was refused life insurance due to a week and damaged heart. His doctor prohibited any physical activity, cautioning him not even to move the lawn, saying, "You might not live to trim the borders."

Now, at age 83, this remarkable man competes in marathon runs of 26-plus miles around the world and has the gold medals to prove it! He has been named "superman" by doctors who delight in studying him to find out how he has so successfully reversed the aging process...

This book outlines Johnson's life to age 65 and reveals his 4-part "Secrets of Regeneration," a plan of natural self-care, that has enabled him to enjoy what he calls his "second lifetime", a return to full vigorous manhood and vital health.

Bee Propolis.

Ia adalah bahan berdamar yang dikumpul dan dimetabolismekan oleh lebah daripada tunas daun dan kulit pokok. Lebah menggunakan propolis untuk menutup lubang dan keretakan pada sarang mereka serta membasmi kuman sebelum ratu bertelur. Simen sarang tersebut boleh menuteralkan bahan pencemaran seperti bakteria serta virus. Propolis berfungsi dengan menghapuskan kuman di mana ia akan bertindak sebagai antiseptik semulajadi.

  • Membantu merangsangkan tubuh untuk menentang jangkitan.
  • Menguatkan sistem imun tubuh.
  • Menolong melegakan kesakitan ringan, bengkak dan keradangan..

    Seorang pengkaji, Ray Sahelian, M.D. merumuskan hasil penelitiannya seperti berikut:

    Propolis, also called "bee glue," is a resinous substance bees use to construct and maintain their hives. In laboratory tests, propolis has exhibited a variety of interesting antimicrobial and anti-tumor properties.

    What's in Bee Propolis?
    Propolis is a mixture of resin, essential oils and waxes mixed with bee glue. Propolis it contains amino acid, minerals, ethanol, vitamin A, B complex, E, pollen and highly active ingredients known as flavonoids or bioflavonoids.

    Menurut suatu cerita, pernah ditemui bangkai tikus yang masih segar dalam sarang lebah yang diselaputi dengan damar sarang lebah biarpun setelah dikaji didapati ia telah lama mati.

    Tablet bee propolis yang dipasarkan itu diadun bersama dengan madu lebah dan jeli raja.

    Terdapat kisah benar yang cukup menarik dan diceritakan sendiri oleh individu pengamal produk ini.

    Namanya dinyatakan sebagai Mr Peter Soo yang merupakan pengurus sebuah kilang membuat kotak bunyi (sound box) berhampiran Pekan Pokok Sena, Kedah. Beliau telah mendirikan rumah tangga selama 7 tahun tetapi tidak mempunyai zuriat. Berbagai ikhtiar telah dilakukannya agar hidupnya suami isteri diserikan dengan kehadiran cahaya mata seperti pasangan lain, tetapi semuanya tidak berhasil. Akhirnya dia dan isterinya cuba mengamalkan produk lebah. Menurut ceritanya, dia mengambil tablet bee propolis, manakala isterinya pula mengambil tablet jeli raja. Mereka mengambilnya dengan jumlah yang banyak.

    Beberapa bulan berikutnya, isterinya disahkan hamil dan setelah genap usia kandungannya sembilan bulan sepuluh hari, dia telah melahirkan anak. Apa yang menggembirakan ialah setelah sekian lama mereka kesunyian tanpa kehadiran zuriat, rumah mereka dihiasi dengan anak-anak kembar tiga; dua perempuan dan seorang laki-laki!

    Satu lagi kisah benar yang tidak kurang menariknya, juga diceritakan sendiri oleh Mr Peter ialah berkaitan dengan kemalangan yang menimpa salah seorang pekerjanya.

    Suatu hari seorang pekerja di kilang Mr Peter telah terputus jari tangannya akibat nahas di tempat kerja. Mr Peter mengambil jari yang putus itu lalu mengejarkan pekerja malang itu ke HAS. Sebelum meneruskan perjalanan dia singgah seketika di rumahnya untuk mengambil tablet propolis lalu dihancurkan serta ditaburkan pada luka di tempat jari pekerjanya yang terputus dan juga pada jari yang telah terpisah daripada tempat asalnya itu. Apabila dirawat, Pegawai Perubatan di HAS turut merasa hairan kerana walaupun telah hampir 2 jam jari pesakit berkenaan terpisah, tetapi ia dapat disambung dan sel-selnya masih berfungsi.

    Juga terdapat seorang kenalan saya (biarlah namanya dirahsiakan) yang telah diserang sakit jantung. Beliau sebelum ini jarang menolak undangan bagi memeriahkan sesuatu majlis makan malam dengan menyampaikan beberapa buah lagu kerana dia memang berbakat. Akibat sering merasa penat dan tidak bertenaga setelah mengalami lemah jantung dia tidak dapat memenuhi undangan untuk menyampaikan lagu di suatu majlis makan malam.

    Seorang kenalannya telah mencadangkan supaya beliau cuba mengambil produk lidah buaya. Khabarnya pada peringkat awal dia enggan, tetapi setelah didesak oleh isteri dan anak-anak, akhirnya dia mengalah. Berikutan dengan itu dia beransur pulih sehingga berjaya merangkul tempat kedua dalam salah satu pertandingan nyanyian lagu-lagu P. Ramlee.

    Ada banyak lagi kisah menarik tentang keajaiban produk lidah buaya dan produk lebah terutamanya pesakit kencing manis (diabetes), terbakar, lemah jantung dan bermacam lagi.

    Anehnya para saintis dan pengamal perubatan barat yang bukan Islam pula yang banyak membuat kajian berkaitan dengan produk lebah atau herba-herba lain yang bermanfaat kepada setiap manusia. Sedangkan menurut kitab suci Al-Quran, begitu jelas menceritakan perkara berkaitan lebah seperti yang dinyatakan dalam Surah An-Nahl ayat 68-69 bermaksud:

    Dan Tuhanmu telah mewahyukan (mengilhamkan) kepada lebah, buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat (diam) yang dibuat manusia; kemudian makanlah tiap-tiap (macam) buah-buahan, dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah memudahkan (bagimu); dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, dan di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia.

Saturday, May 17, 2008

03: ENAM BULAN DI RUMAH - AMAT MENJEMUKAN


SELEPAS dibenarkan keluar daripada HAS, saya tidak berupaya ke mana-mana kecuali untuk menunaikan temujanji dengan Pegawai Perubatan (doktor) setiap dua minggu sekali bagi memeriksa tekanan darah serta memeriksa tahap kesihatan. Temujanji berkenaan berlangsung secara berselang-seli dengan latihan pemulihan di Unit Fisioterapi. Ini bererti setiap minggu saya akan pergi ke HAS kerana temu janji berlangsung di Klinik Perubatan, Unit Rawatan Lanjutan (MFUC), sementara Unit Fisioterapi juga terletak dalam kawasan HAS
.
Kedua-dua urusan tersebut berlangsung pada hari Sabtu. Jadi ia tidak mengganggu tugas isteri saya sebagai seorang guru bagi membawa saya ke sana.

Untuk ke HAS, isteri sayalah yang akan memandu motokar. Keupayaan saya untuk berjalan, apa lagi memandu motokar memang tiada sama sekali. Dengan demikian terpaksalah isteri saya menyorong dengan kerusi roda setiap kali pergi ke unit-unit tersebut.

Selain meneruskan rawatan dengan pihak hopital, saya juga berikhtiar kepada bomoh. Dengan bantuan seorang jiran yang kami panggil dia Kak Zah yang pernah menjaga anak ke tiga saya masa dia masih bayi hingga bersekolah dahulu, kami pergi menemui seorang bomoh di Hutan Kampung yang jaraknya kira-kira 20 kilometer daripada rumah kami. Namanya Ustaz Jamil dan merupakan bekas pelajar Maktab Mahmud, Alor Setar serta bertugas sebagai guru.

Khabarnya ketika dia masih menuntut di Maktab Mahmud dahulu kawan-kawannya menggelarkannya sebagai ‘Men Bomoh’. Sebutan Men ialah singkatan nama Jamil yang lazimnnya digunakan oleh orang-orang Kedah dan sebahagian masyarakat di utara.

Di rumahnya ketika kami tiba, terdapat ramai orang yang datang untuk mendapat khidmat sama ada kali pertama seperti saya atau khidmat ulangan. Dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dia menjampi air yang kami bawa. Dia meminta kami bawakan kepadanya pasir dan madu lebah bila datang berjumpanya pada masa akan datang. Seminggu kemudian kami pergi berjumpanya lagi dengan membawa bahan-bahan yang dikehendaki itu.

Seperti sebelumnya, Ustaz Jamil menjampi bahan-bahan itu dengan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran. Setelah selesai dia berpesan agar pasir dipanaskan dengan menggoreng dalam kuali.

“Bungkus pasir tu dengan kain, demah tapak kaki dan bahagian atas atau kura-kura kaki, insya Allah darahnya akan berjalan dengan baik semula. Saya tak boleh jamin, Allah lebih berkuasa. Madu lebah tu boleh diminum dan dibancuh dengan air limau nipis campur dengan sedikit kapur sirih kemudian lumur di bahagian dada dan perut,” pesan Ustaz Jamil sebelum kami meminta diri untuk pulang.

“Perlukah kami ulangi lagi?” tanya isteri saya.

“Tengoklah keadaannya nanti. Kalau dah bertambah baik tak payahlah,” balas Ustaz Jamil.

Lebih kurang sebulan selepas tarikh diserang strok, adik ipar jiran saya disebelah rumah yang lagi satu juga merupakan senior saya sewaktu kami sama-sama belajar di Sekolah Menengah Baling dahulu memperkenalkan saya dengan Encik Hashim Md Zain yang mengedarkan makanan tambahan (food supplement) berasaskan lidah buaya (aloe vera gel), produk lebah, minyak ikan (Arctic Sea Fish Oil-Super Omega 3) dan beberapa produk lainnya dengan kaedah jualan langsung berbilang tingkat (MLM).

Produk lidah buaya adalah dalam bentuk cecair dan perlu disimpan dalam peti sejuk selepas dibuka untuk diminum kerana ia adalah asli tanpa pengawet. Ia mengandungi 75 khasiat makanan dan sekiranya terdedah ia akan teroksidan dan akan rosak jika tidak disimpan dalam peti sejuk.

Khabarnya Encik Hashim pernah mendapat ‘hepatitis B’ dan kembali pulih selepas mengamalkan beberapa produk yang diedarkannya itu. Kepada saya ditunjukkan risalah penerangan beberapa produk yang lain tetapi saya tidak mampu membacanya kerana penglihatan saya kabur sama sekali. Pada waktu itu juga saya tidak berdaya untuk berdiri serta mengangkat tangan.

Sebenarnya saya pernah melihat produk tersebut lebih setahun sebelum itu. Ia diperkenalkan oleh sekumpulan pengedar yang memberikan penerangan di pejabat saya. Bagaimanapun saya dan kakitangan lain yang sama-sama mengikuti penerangan itu langsung tidak berminat. Menarikya ialah minyak ikan (Arctic Sea Fish Oil-Super Omega 3) boleh melarutkan ‘polystyrene’ yang bahan asasnya adalah petrolium. Beliau membuat demonstarsi bagi memperlihatkan tindakan bahan tersebut ke atas polystyrene.

“Lemak tepu dalam badan kita nipun akan larut macam tulah juga,” tegas Encik Hashim

Setelah kira-kira sebulan mengamalkan produk berkenaan, penglihatan saya yang kabur pulih dan saya boleh berdiri biarpun anggota kanan masih menggigil di samping perlu dipapah untuk berjalan. Saya mulai yakin akan dapat dipulihkan biarpun pada sesi temujanji sebelumnya Pegawai Perubatan HAS pernah menyatakan bahawa tiada ubat khusus untuk memulihkan strok.

Encik Hashim memaklumkan produk yang saya ambil itu turut bertindak menjadikan urat saraf saya boleh dilentur (flexible). Beliau juga menegah saya menjalani rawatan mengurut.

“Ada seorang yang juga diserang strok di Pendang menjalani rawatan mengurut. Mulanya dia boleh berrjalan sikit-sikit tetapi lepas diurut, langsung tak boleh berjalan,” beritahunya.

Saya lantas teringat akan pesanan M.Z. Halim Haji Hassan sebelum itu.

“Kalau nak urut pun boleh. Tapi bukan macam urut orang silap urat atau terseliuh. Ia setakat bagi mengeluarkan angin yang terperangkap. Nanti saya bawakan orang yang tahu berkenaan kaedah-kaedah mengurut,” ujar Encik Hashim kemudian.

Seperti yang dijanjikan, beberapa hari kemudian Encik Hashim datang ke rumah saya selepas waktu maghrib bersama seorang berketurunan Cina; Mr Ang Tek Chi namanya. Di kalangan pelanggan-pelanggannya dia dikenali sebagai Dr Ang sekalipun tidak memiliki ijazah kedoktoran. Khabarnya sebelum ini dia adalah seorang peniaga peralatan elektrik, tetapi terpaksa gulung tikar akibat menanggung hutang yang banyak serta kemelesetan ekonomi.

Pada malam itu sebahagian anggota serta seluruh badan saya diurut dan saya menggelupur sambil mengaduh kerana teramat sakit. Di bahagian-bahagian tertentu seperti betis, paha, bahagian atas lengan dan bahagian bawahnya terdengar letusan-letusan kecil. Tatkala tangan saya diurut, sakitnya bukan kepalang menyebabkan saya mengerang agak kuat sambil menggelupur.

“Itu tandanya angin yang terperangkap. Insya Allah ia akan hilang nanti,” ujar Mr Ang. “Pagi-pagi bersenam dengan menumbuk angin. Duduk macam orang tengah sembahyang dan buat secara bergilir-gilir kiri dan kanan,” tambahnya lagi.

Mulanya saya menyangka beliau telah menganut Islam. Apa lagi minyak yang digunakannya untuk mengurut kalau saya tidak salah dengar dijampi dengan surah Al-Fatihah. Begitu juga ketika beliau mulakan kerja-kerja mengurut, dia melafazkan ‘Bismillah’ hinggalah tamat kalimah itu dengan begitu lancar.

Bagaimanapun sangkaan saya itu meleset kerana bila dia datang bersama Encik Hashim sebulan berikutnya ketika maghrib dia tidak bersolat fardu maghrib, sedangkan Encik Hashim meminta izin berbuat demikian. Bagi memastikannya dengan lebih jelas, isteri saya bertanyakan perkara itu kepada Encik Hashim waktu dia datang ke rumah kami seorang diri tanpa kehadiran Mr. Ang beberapa hari berikutnya.

Perkara itu pernah saya cakapkan kepada beberapa orang kenalan. Ada yang memberi komen bahawa hal itu tidak betul kerana dia seolah-olah mempersendakan Allah.

“Lainlah jika dia dah masuk Islam,” ulas seorang kawan.

Namun begitu lain pula persepsi saya kerana meskipun Mr Ang tidak memeluk Islam, dia juga hamba Allah. Dia meminta Allah makbulkan permintaannya. Pada saya dia amat mengharapkan pertolongan Allah. Hanya Allah sahaja yang berkuasa memenuhi permintaan hamba-hambaNya yang dikehendaki biarpun seseorang itu tidak beriman.

Kalau nak disebutkan, sejak lama dahulu ramai umat Islam yang melakukan perbuatan syirik. Bukan sedikit pula yang menipu dan bergelumang dengan judi tikam ekor sehingga ada yang mendapatkan khidmat pawang ‘menurun’. Ada juga yang menafsirkan mimpi yang kononnya memberikan isyarat nombor yang akan menang. Yang minum minuman keras pun apa kurangnya, selain itu bukan sedikit pula yang curi tulang masa bekerja. Terdapat juga orang-orang Islam yang mengadu domba, bercakap bohong, berdusta mengenai sesuatu perkhabaran dan mungkir janji. Yang makan rasuah juga tak kurang jumlahnya, kata saya dalam hati.

Kalau tidak silap Mr Ang mengurut saya sebanyak tiga kali. Pada kali ketiga saya diurut, letusan-letusan yang menandakan angin yang terperangkap dalam otot-otot saya semakin kurang. Saya juga melakukan senaman sebagaimana yang dianjurkan oleh Mr Ang setiap pagi selepas menunaikan solat subuh sehinggalah peluh membasahi tubuh saya biarpun dengan kadar yang sedikit. Perlu dijelaskan bahawa hanya sebelah kiri badan saya sahaja berpeluh.

Keupayaan untuk berdiri tanpa dipapah masih belum diperolehi. Oleh itu saya hanya bersolat sambil duduk sahaja! Kepada Allah saya panjatkan doa agar di suatu hari nanti saya boleh mendirikan solat seperti sebelumnya..

Sebagaimana biasa saya meneruskan latihan di Unit Fisioterapi HAS iaitu latihan menggerakkan tangan dengan mengangkat beban dan latihan kaki dengan mengayuh basikal senaman selama lebih kurang 3 jam bagi setiap sesi. Saya berlatih berjalan dengan bepegang kepada palang tanpa memakai kasut di atas lantai yang menggerutu. Setelah beberapa kali mengikuti latihan, saya berlatih menaiki dan menuruni anak tangga yang juga terdapat di satu sudut Unit Fisioterapi. Latihan memasukkan bungkah ke dalam bekas amat memenatkan kerana ia juga melatih menggunakan otak.

Ketika mengujungi Unit Fisioterapi itu saya telah membeli satu unit tongkat tapak empat boleh laras yang diperbuat daripada keluli bagi kegunaan sebagai penopang untuk berjalan. Ada sekali dua saya bertemu dengan Cikgu Osman Ismail, suami kepada Cikgu Mahani Md Desa yang dahulu waktu kami masih belum berkahwin pernah tinggal serumah dengan isteri saya. Saya kenal baik dengan Cikgu Osman. Cikgu Mahani juga sedang menjalani latihan pemulihan cara kerja kerana beliau telah dibedah pada bahagian kepala akibat ketumbuhan.

Selama berada di rumah, saya rasakan amat menjemukan. Hanya televisyen yang menjadi teman. Dua orang anak laki-laki saya bersekolah di sekolah ibu mereka. Kepulangan isteri memang amat ditunggu kerana beliau telah membeli senaskhah akhbar untuk saya baca.

“Rasanya elok kalau abang bertugas semula. Kalau tak boleh menulis, petik komputer pun jadilah,” ujar isteri saya suatu hari.

“Abang rasa pun macam tu juga. Jemu sangat duduk di rumah ni. Dah enam bulan,” balas saya sambil menggayakan enam batang jari di kedua-dua belah tangan.

Lalu seperti yang dirancang, saya kembali semula bertugas biarpun terpaksa menggunakan tongkat. Dan untuk masuk ke ruang pejabat di mana tiada lif disediakan di bangunan pejabat tiga tingkat itu, saya terpaksa menaiki tangga yang dilengkapi pemegangnya.

Selama enam bulan saya berkurung di rumah terasa suatu tempoh yang cukup lama dan menjemukan. Begitulahh agaknya yang alami oleh kalangan pesara lalu mereka melepak di kedai-kedai kopi berbual kosong. Sebaiknya tingkah laku sebegini wajar dihentikan. Bukankah lebih baik jika masa terluang itu dipenuhi dengan aktiviti berfaedah? Mereka boleh membijaksanakan diri dengan memesrai bahan-bahan bacaan umpamanya. Mereka juga barangkali boleh memperdalami isi Al-Quran yang terkandung pelbagai ajaran menerusi kisah-kisah untuk diteladani.

Barangkali ada yang marah dengan saranan saya ini! Bagaimanapun itu bukanlah paksaan, sebaliknya hanya merupakan suatu pandangan sahaja.





Thursday, May 15, 2008

02: SEHARI SEBELUM SERANGAN STROK



KETIKA saya masih berada di bangku sekolah menengah dahulu iaitu mulai tahun 1966, lagu-lagu pop amat digilai oleh sebilangan besar muda-mudi. Di Singapura muncul dengan begitu banyak kumpulan muzik yang dikenali sebagai ‘kugiran’ – nama ringkas bagi kumpulan gitar rancak.

Antaranya ialah The Siglap Five, The Rhythmn Boys, The Clans, The Clicks 4, The Wisma, The Sandblues, The Antartics, The Clifters, The Hornet, Les Fentones dan banyak lagi. Di Johor juga terdapat kumpulan-kumpulan terkemuka antaranya Orkes Nirwana, The Stranggers, Les Coasters, Les Kafilas dan De Fiction.

Di utara pula kumpulan paling menonjol ialah Orkes Teruna Ria (Pulau Pinang) dan diikuti oleh The Tornadoes (Taiping) tetapi ia tidak begitu terkenal. Kumpulan The Zurah muncul kemudian iaitu ketika irama muzik zaman 60-an mula menurun popularitinya.

Kalangan remaja yang masih berstatus pelajar seperti saya dan teman-teman sebaya juga tidak terkecuali daripada menggilai muzik sedemikian apa lagi di tempat saya (Baling) juga terdapat sebuah kumpulan yang dianggotai oleh beberapa orang guru iaitu Orkes Irama Kejora dan salah seorang rakan sekelas Mohamad Hamzah namanya adalah pemain drum simpanan. Manakala sebuah lagi kumpulan yang boleh dikatakan sering diundang bagi mengadakan persembahan ialah The Capricorn.
Orkes Irama Kejora akhirnya berpecah kerana sebahagian anggotanya yang terdiri daripada beberapa orang guru bertukar dan kesemua peralatan muzik mereka dijual kepada satu kumpulan yang tidak begitu menonjol iaitu Dendang Satria juga di bawah pimpinan seorang guru.

Bukanlah suatu hal yang luar biasa kiranya kalangan guru yang banyak terlibat sebagai ahli muzik yang jika ditinjau boleh dikatakan kebanyakan anggota atau pemimpin kugiran adalah terdiri daripada guru atau mereka yang berkerjaya tetap. Antaranya ialah The Wanderes, Orkes Nirwarna, The Jay Hawkers, De Fiction, The Tornadoes dan banyak lagi. Manakala di kalangan penyanyi dan pemuzik juga demikian seperti antaranya M. Fadzil, Rodziah Latif, A. Dayang, A. Nandong, L. Ramlee, Dato A. Rahman Hassan, Johami Abdullah (Joseph Chelliah) dan beberapa orang lagi.

Seperkara yang turut menarik minat saya terhadap lagu-lagu pop Melayu meskipun ia adalah pengaruh muzik The Beatles di barat ialah keupayaannya mengaplikasikan irama asli, ghazal, joget dan keroncong dengan menggunakan instrumen muzik moden.

Di era 90-an lagu-lagu 60-an masih juga mempunyai penggemar meskipun citarasa sebilangan besar muda-mudi telah beralih kepada lagu-lagu Rock, metal atau alternative yang bernada keras.

Bagi meneruskan kesinambungan irama 60-an yang masih ada pengikut dan tidak dinafikan turut digemari oleh sebilangan anak-anak muda, satu pertandingan telah diadakan di sebuah pusat membeli-belah bandar Alor Star. Pelopornya ialah kugiran D’Santani yang pernah mengambil bahagian dalam pertandingan Juara Kugiran anjuran RTM suatu ketika dahulu. Kugiran ini dipimpin oleh Encik Sobri Md Isa, pemain gitar utama yang dikenali dengan panggilan mesra ‘Pak Su’.

Kumpulan ini sering diundang untuk bermain di konsert dan majlis-majlis makan malam terutamanya anjuran Jabatan Penjara Alor Star kerana salah seorang anggotanya, Koperal Ahmad Md Isa iaitu abang kandung Pak Su bertugas di jabatan itu. Manakala Pak Su pula adalah kakitangan Percetakan Nasional yang tentulah sering bermain di majlis-majlis mereka. D’Santani juga pernah mengiringi biduan A. Ramlie pada satu konsert yang diadakan di Dewan Dato’ Syed Omar, Alor Setar beberapa bulan sebelum dewan berkenaan dirobohkan untuk membina Hotel Holiday Villa di Jalan Tunku Ibrahim.

Sehari sebelum diserang strok, saya bertemu seraya berbual-bual dengan Pak Su dan DJ Radio Malaysia Alor Setar, Azarudin Othman (Allahyarham) di Restoran Bahagia yang terletak berhampiran dengan pejabat tempat saya bertugas. Kepadanya saya menyatakan hasrat untuk menyertai pertandingan yang bakal berlangsung itu. Tujuan utamanya bukanlah untuk merebut hadiah, sebaliknya ialah bagi mengetahui sejauh mana kemampuan saya di bidang seni suara.

Sebelumnya memang saya terlibat secara langsung di bidang seni suara bila Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah, Allahyarham Syed Hood Barakbah meminta saya membantu Rakan Seni Budaya berlatih muzik serta dilantik oleh Pegawai Penyelia Kompleks Belia dan Sukan, Encik Lee Boon Sing selaku Bendaharinya.

Bersama kumpulan muzik yang ditubuhkan itu, saya berlatih beberapa buah lagu 60-an seperti antaranya Kenanganku dan Mas Mona yang dipopularkan oleh Jefrydin, Hidup Bersama (A. Ramlie), Tak Mengapa (Dato A. Rahman Hassan), Dara Pujaan (L. Ramlee), Dendang Patah Hati (M. Osman), Lembaran Terakhir (Datuk Ahmad Jais) dan Selamat Tinggal Pujaan (S. Jibeng). Ada juga di antara lagu-lagu berkenaan tersenarai untuk dipilih dalam pertandingan.

Sebenarnya saya bukanlah benar-benar berkebolehan di bidang seni suara apa lagi bila ada iringan muzik. Penglibatan saya bersama kumpulan belia di bawah label Rakan Muda Seni Budaya itu adalah sekadar untuk memberikan bantuan serta motivasi kepada para remaja agar aktiviti melepak dan gejala sosial tidak berfaedah yang lain terhindar. Saya juga pernah melalui zaman sepertimana yang mereka lalui. Bagi yang aktif bersukan barangkali mereka boleh terhindar daripada sebarang kegiatan tidak sihat. Tetapi bagaimana pula halnya bagi seseorang yang langsung tidak berkebolehan di bidang sukan? Kekosongan pengisian jiwa boleh menyebabkan mereka terjebak dengan gejala sosial. Andainya mereka hanya mempunyai bakat di bidang kesenian seperti muzik tidak diberi galakan dan dorongan atau ruang mungkin mereka ini akan terpesong daripada landasan asal yaang boleh menjebak mereka dengan gejala kurang sihat!

Selain itu saya juga terlibat dengan Band Saroja dan pernah menjadi pengacara konsert di samping menjadi vokalisnya. Saya juga pernah berlatih dengan pemuzik kumpulan tersebut di Taman Budaya, Pumpong, Alor Setar kerana saya merupakan salah seorang yang banyak kali juga terlibat dalam persembahan teater tradisional yang dikenali sebagai ‘bangsawan’.

Dengan yang demikian saya yakin dapat menyertai Pertandingan Lagu-Lagu 60-an yang bakal berlangsung itu. Pak Su biarpun bukan begitu rapat dengan saya turut merasa bangga bila saya menyatakan hasrat untuk turut serta kerana katanya jika ‘orang-orang lama’ tidak memberi sokongan siapa lagi yang akan meneruskan kesinambungan irama 60-an yang pernah gemilang serta menjadi seperti revolusi muzik suatu masa dahulu. Malah beliau berpendapat irama sedemikian dijangka akan terus ada pengikut selagi ia dihidupkan dalam bentuk pertandingan sebagai salah satu langkah bagi menjulang martabatnya.

Beberapa hari seebelum itu, ketika sedang meneliti lagu-lagu pilihan yang disenaraikan di sebuah pasaraya di bandar Alor Setar, saya terserempak dengan anggota-anggota Band Rakan Muda Seni Budaya yang sering berlatih bersama saya di Kompleks Belia dan Sukan.

“Kalau abang masuk pertandingan ini, kami yakin abang boleh menang punya,” ujar salah seorang daripada mereka.

Saya hanya tersenyum.

“Cuba abang ambil bahagian,” gesa seorang yang lain pula.

“Cuba abang perhatikan betul-betul senarai lagu-lagu pilihan tu. Ada di antaranya yang selalu kita berlatih. Abang boleh bawa lagu dengan baik,” tokok seorang lagi. “Kalau abang mahu kita turun berlatih mana-mana lagu yang abang pilih tu. Bukan apa, sebelum ini pun kita pernah berlatih. Kita cuma nak mantapkan lagi,” tambahnya.

“Jangan confident sangat,” ujar saya kemudian.

“Malam ni kita mula berlatih bersungguh-sungguh.”

Lebih kurang tiga hari menjelang tarikh pertandingan setiap malam saya berlatih bersama Band Rakan Muda. Lagu pilihan saya ialah Kenanganku di samping Hidup Bersama sebagai persediaan andainya di wajibkan menyampaikan dua buah lagu sekalipun tidak disebut dalam syarat pertandingan.

“Jangan gugup pula,” ujar seorang rakan sebaya saya yang pada kali terakhir ikut serta sebagai pemain gitar irama (rhytmn guitar) juga bagi membetulkan mana yang patut.

Ketika itu kami sama-sama membasahkan tekak di sebuah warung selepas berlatih seperti yang pernah dilakukan sebelumnya.

“Bukan apa, saya pernah mengalaminya satu masa dulu.”

Saya merasa tertarik dan mendesaknya agar dia menceritakan perkara tersebut.

“Itu bukan pertandingan. Tetapi dalam satu persembahan yang saya ikut bermain. Atas permintaan ramai saya diminta menyampaikan sebuah lagu yang pernah saya bawa masa berlatih,” ceritanya.

“Mesti bagus punya,” celah salah seorang anggota Band Rakan Muda.

“Bagus?” tiba-tiba rakan itu bersuara dengan nada agak melucukan. “Tahu apa jadi?”

Semua yang ada hanya menyepi.

“Sebaik saja nama lagu dan penyampainya dinyatakan oleh juruhebah kami pun membuat intro lagu tu. Masa saya mendekatkan mulut ke mikrofon untuk menyanyikannya terdengar penonton bertepuk tangan. Saya yang nak bawa lagu itu sambil bermain gitar terus berasa lemah lutut lalu jatuh terjelepuk,” beritahunya seraya ketawa terbahak-bahak. “Mujur ada seorang lagi yang boleh menggantikan tempat saya bermain muzik. Semenjak itu saya dah serik untuk menyanyi di atas pentas depan orang ramai dalam sebarang persembahan. Saya cuma menyanyi ketika berlatih saja,” katanya lagi.

Pada hari Khamis di sebelah malamnya saya telah pergi ke rumah M.Z. Halim Haji Hassan dan berbual-bual bersama beliau sambil menonton rancangan televisyen. Boleh dikatakan sering juga saya ke rumahnya sekadar untuk berbual. Beliau yang mempunyai tiga orang anak, dua perempuan dan satu laki-laki hanya tinggal berdua dengan isterinya sahaja di sebuah rumah teres dua tingkat yang jaraknya hanya kira-kira satu kilometer dari rumah saya. Anak sulungnya perempuan sudah berkahwin dan tinggal di Sungai Petani, anak kedua laki-laki sedang menuntut di bidang Seni Muzik Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan anak bongsunya perempuan juga pada masa itu sedang menuntut di Terengganu.

Mulanya saya ingin memaklumkan kepada beliau berhubung dengan hasrat untuk menyertai pertandingan nyanyian yang bakal berlangsung pada hari Sabtu. Tetapi entah bagaimana keinginan itu tidak terluah. Tiba-tiba sedang kami berbual tentang berbagai perkara, saya merasakan jantung saya berdegup kencang dan seluruh badan terasa agak lemah serta dibasahi peluh. Lama juga keadaan itu berterusan. Apabila terasa agak reda saya pun meminta diri untuk pulang dan waktu itu sudah dinihari.

Malang bagi saya pada masa Pertandingan Lagu-Lagu 60-an berlangsung saya menjadi penghuni wad Hospital Alor Setar (HAS) akibat serangan strok.

Tuesday, May 13, 2008

01: DISERANG STROK KETKA BERUSIA 46 TAHUN





ANGKA merupakan di antara objek yang kurang saya gemari sejak di sekolah rendah lagi. Itulah sebabnya barangkali saya kandas subjek Matematik yang dahulunya dikenali sebagai Ilmu Hisab. Satu lagi subjek yang mengutamakan angka ialah Sejarah. Saya kandas kedua-dua subjek tersebut pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia 1970 (SPM) dengan memperolehi kelulusan Pangkat Ketiga dan hanya mendapat kepujian subjek Bahasa Malaysia. Manakala untuk subjek yang lain hanya lulus sahaja.

Bagaimanapun tanggal 17.9.1999 merupakan fakta sejarah yang tidak mungkin saya lupakan kerana pada tarikh berkenaan saya diserang strok atau angin ahmar tatkala berusia 46 tahun 4 bulan. Sebenarnya tarikh terbut adalah ulangtahun kelahiran ke 12 anak saya yang ketiga. Saya sendiri tidak teringat akan hal itu.
.
Masih segar di ingatan saya hari itu adalah hari Jumaat yang lazimnya adalah cuti hujung minggu di Kedah. Namun kesemua bank termasuk tempat saya bertugas, ia adalah hari bekerja kerana cuti hujung minggu ialah hari Ahad, sementara hari Sabtu – sebelum diselaraskan waktu kerja lima hari seminggu - urusniaganya berlangsung separuh hari.

Sebagaimana biasa, saya pergi kerja dengan menaiki motosikal Honda C 70 tanpa sebarang pertanda akan ditimpa musibah. Di sudut hati saya bagaimanpun terpahat satu azam untuk berhenti merokok – kegiatan yang ternyata tidak berfaedah – yang saya mulakan secara serius sejak 1968; ketika berusia 15 tahun, sewaktu sedang bersdia untuk menghadapi peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Dengan perkataan lain, saya mula ketagih rokok pada masa itu dan melakukannya secara bersembunyi-sembunyi kerana khautir akan dimarahi oleh ibu dan bapa kerana ketika itu saya masih berstatus seorang pelajar.

Sebenarnya percubaan saya untuk berhenti merokok telah berlangsung sejak tahun 1974 lagi, dan melebihi 20 kali tetapi kejayaannya tidak pernah menjadi realiti. Jika direnungkan adalah kerana azam saya tidak teguh.

Masih saya ingat tempoh paling lama saya dapat bertahan tidak merokok ialah selama sebulan. Saya kembali merokok apabila Allahyarham bapa saya mengunjukkan rokok yang baru luak sebatang dalam kotak ketika saya pulang bercuti di kampung. Ketika itu saya masih bujang. Oleh yang demikian adalah tidak benar jika ada di antara rakan-rakan yang mengatakan bahawa saya berhenti merokok setelah di serang strok.

Untuk makluman sekalian pembaca, saya telah mencuba lebih daripada 20 jenama rokok tidak termasuk curut, paip, rokok daun dan ganja. Juga saya masih ingat ketika bertugas di Petaling Jaya sekitar tahun 1974 dahulu pernah saya temui dan mencuba satu jenama rokok yang dikatakan di antara bahan dalam tembakaunya ialah ‘ginseng’. Saya memaklumkan kepada beberapa orang rakan bahawa itu adalah rokok berubat. Mereka tertawa terbahak-bahak lalu mengatakan bahawa itulah kali pertama mereka mendengar ada ‘rokok berubat’ kerana rokok sebenarnya adalah racun. Sekarang saya mengakui kebenaran hal itu.

Berbalik kepada kisah pengalaman yang pernah saya lalui berkaitan dengan serangan strok pada 17.9.1999 itu:

Waktu rehat hari Jumaat bermula jam 12.20 tengah hari sehingga 2.45 petang supaya umat Islam yang laki-laki berkesempatan menunaikan fardu Jumaat serta makan tengah hari.

Seperti kakitangan laki-laki Muslim lain juga, saya pulang ke rumah untuk menunaikan fardu Jumaat di masjid berhampiran rumah saya – Masjid Al Ghufran, di Jalan Pegawai (kini dinamakan Persiaran Sultan Abdul Hamid).

Ketika sedang bersiap-siap untuk pergi ke masjid, tiba-tiba jari manis tangan kiri saya terasa kebas dan berwarna merah kehitam-hitaman. Namun tidak pula saya memberitahu sesiapa sekalipun kepada isteri dan anak-anak. Sebaik sahaja selesai menunaikan solat fardu Jumaat rasa kebas pada jari manis saya itu hilang sama sekali. Sehingga kini menjadi tanda tanya di benak saya: apakah ini salah satu gejala strok? Barangkali kalangan doktor atau pengamal perubatan boleh menganalisa perkara ini.

Saya kembali bertugas seperti biasa selepas itu tanpa sebarang gejala sehinggalah waktu pejabat berkhir pada jam 5.00 petang ketika itu. Sebelum pulang ke rumah, saya singgah di pejabat Koperasi Serbaguna Penulis Utara Malaysia Berhad (KSPUMB), Kompleks Alor Star, Lebuhraya Darulaman kerana pada masa itu Setiausaha Satu Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), Sayed Mahadzir Sayed Omar sedang berada di sana. Saya adalah salah seorang Ahli Lembaga KSPUMB dan ketika itu juga merupakan Bendahari ASASI satu-satunya organisasi penulis di Kedah yang bernaung di bawah payung Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Sayed Mahadzir adalah seorang yang sangat kuat merokok. Melihat dia merokok dengan begitu rakus, saya jadi teruja lalu memintanya sebatang – pada hal semenjak pagi lagi saya tidak merokok kerana berhasrat menunaikan azam untuk berhenti merokok.

Sebaik sahaja asap rokok itu saya sedut ke paru-paru, kepala terasa pening seperti yang pernah dialami ketika mula-mula belajar merokok dahulu. Sebenarnya perasaan sedemikian pernah saya rasai sebelumnya kerana ini bukanlah kali pertama saya cuba untuk berhenti merokok. Rasa yang serupa sering dialami selepas berbuka puasa bila saya menghisap rokok.

Selepas menunaikan solat asar di rumah pada petang hari Jumaat 17.9.1999 itu saya berbaring di seti di hadapan peti televisyen untuk bersantai bersama isteri serta dua orang anak laki-laki sambil menonton rancangan yang dihidangkan. Anak sulung seorang perempuan pada ketika itu sedang menuntut di Kampus Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan dalam jurusan Diploma Teknologi Makmal Perubatan (DTMP).

Menjelang waktu maghrib saya ke halaman bagi menyiram pokok cabai dengan air longkang dengan menggunakan sebuah baldi yang diperbuat daripada bekas cat.
Berkebun adalah kegemaran saya kerana sebelum itu saya pernah mananam sayur antaranya kacang bendi, mentimun dan cabai Melaka (cili burung) di tanah lapang hadapan rumah kami. Bagaimanapun kegemaran saya ini terhenti kerana tanah di tempat saya berkebun itu menjadi keras seperti simen layaknya.

Ketika sedang menyiram pokok-pokok cabai yang saya tanam dalam petak-petak yang dibina dengan batu-bata di tepi pagar rumah kami tiba-tiba saya merasakan degupan jantung begitu kencang. Pada masa yang sama juga saya lihat persekitaran rumah berpusing-pusing. Tanpa membuang masa saya mengatur langkah ke dalam rumah dan terpaksa berpaut kepada badan motokar yang ditempatkan di porch hadapan rumah. Kaki saya merasa terlalu lemah ketika itu dan anak kedua saya seorang laki-laki datang memberi bantuan agar saya dibaringkan di atas seti ruang tamu.

Pada malam itu juga jiran sebelah rumah yang juga adalah junior saya ketika sama-sama menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Baling dahulu datang membantu membawa saya ke Hospital Alor Star (HAS).

Ketika sedang menunggu giliran untuk diperiksa, saya bertanya kepada isteri sama ada terlihat kelainan pada wajah saya (mulut yang herot) atau sebaliknya kerana pada masa itu sebelah muka saya terasa kebas. Beliau menggelengkan kepala menafikannya.

Dalam fikiran saya ketika itu hanya memikirkan bahawa saat kematian sudah semakin hampir. Sekiranya telah sampai masanya saya redha dijemput kerana hidup ini adalah sementara sahaja. Allah telah memberi kesempatan untuk saya menikmati kehidupan yang selesa selama 46 tahun. Bererti selama itulah saya telah menikmati kegembiraan dan kebahagiaan. Begitu penilaian atau muhasabah saya meskipun kekayaan material masih belum sempat dikecapi.

Dunia adalah pinjaman. Akhirat jua tempat yang kekal, demikian hati saya berkata. Tepat seperti ungkapan dalam sebuah pantun:

Halia itu tanam-tanaman,
Ke barat juga akan condongnya;
Dunia ini hanya pinjaman,
Akhirat juga kekal selama-lamanya.

Berikutan dengan serangan strok yang dialami secara tiba-tiba itu saya menjadi penghuni wad HAS selama dua malam. Penglihatan saya mulai kabur, manakala anggota sebelah kanan semakin lemah tetapi masih berupaya menurunkan tandatangani pada surat jaminan (GL) rawatan hospital kerajaan yang dibawa oleh isteri saya pada keesokan harinya biarpun tidak dapat melihatnya dengan jelas.

Ramai juga rakan dan kenalan menziarahi saya ketika berada di wad HAS. Antaranya termasuklah M.Z.Halim Haji Hassan, salah seorang dramatis dan juga penulis skrip drama yang saya kagumi sejak lama dahulu yang kemudian menjadi sahabat karib saya. Beliau merupakan guru saya di bidang penulisan skrip drama radio yang turut bertanggungjawab membawa saya menjadi di antara panel penulis skrip siri Permatang Jingga, Setitik Peluh Segunung Intan dan Keluarga Cikgu Zainun, iaitu drama pendek terbitan RTM (Nasional FM yang kemudian menjadi Klasik Nasional) sedikit masa lalu.

Menurut beliau, musibah yang menimpa diri saya itu amat memeranjatkannya kerana sehari sebelum itu saya berkunjung ke rumahnya dan bersama-sama menonton rancangan televisyen sehingga hampir tengah malam. Rumahnya dengan rumah saya jaraknya hanya kira-kira 1 km sahaja dan saya sering berkunjung ke sana jika ada kelapangan. Rasa terperanjatnya itu juga adalah disebabkan beberapa hari sebelumnya salah seorang rakan, Omar Zainol iaitu seorang pelakon teater berbakat yang pernah diasuhnya telah mengalami kemalangan maut ketika menunggu saat kelahiran anak sulung.

Biarpun Omar tidak begitu rapat dengan saya, tetapi nahas yang meragut nyawa beliau turut menyedihkan saya yang ikut terlibat menjayakan Teater Tradisional Mahsuri di Pekanbaru, Riau, Indonesia sempena Hari Kebangsaan Malaysia 1996. M.Z. Halim merupakan pengarah (sutradara) teater hasil produksi Persatuan Sasterawani Kedah (ANGSANA) yang turut dipentaskan di Kota Tembilahan, Inderagiri Hilir (Inhil) dengan sambutan yang begitu hebat. Beliau adalah di antara pelakon watak utama dan lakonannya amat berkesan.

Selepas berada di wad selama dua hari dua malam, saya dibenarkan pulang dan M.Z. Halim Haji Hassan merupakan orang terawal yang datang menziarahi saya ketika berada di rumah. Dia tidak datang dengan tangan kosong. Sebaliknya dibawanya makanan kesihatan berasaskan gamad yang menurutnya pernah diamalkan oleh seorang kenalannya selepas diserang strok.

“Cubalah berikhtiar dengan produk itu. Kata orang ia berkesan. Insya Allah,” katanya.

Beliau juga menasihatkan agar jangan diurut kerana tindakan sedemikian dikhuatiri boleh memudaratkan di mana ligamen akan tercedera.

“Emak saya juga lumpuh lepas diserang strok. Mulanya boleh berjalan sikit-sikit. Tetapi lepas diurut, langsung dia tak boleh bergerak dan terpaksa diusung untuk ke tandas atau ke tempat mandi,” katanya.

Penyair Affrini Adham (meninggal dunia pada 22.9.2005) atau nama sebenarnya Ahmad Ariffin juga datang mengunjungi saya yang terlantar di tempat tidur. Beliau mengunjukkan senaskah akhbar tetapi saya menyatakan yang saya tidak dapat membacanya kerana penglihatan kabur.
.
“Banyak-banyak bersabar dan tabahkan hati. Ini adalah ujian Allah,” katanya memujuk.

Akibat serangan strok bahagian kiri badan saya terasa sengal dan anggota kanan pula menggigil serta tidak berupaya melakukan sebarang gerak kerja. Andainya saya membuka akhbar pasti akan terkoyak atau terlepas. Keupayaan untuk menyuap makanan juga terjejas. Di samping itu penglihatan saya pula kabur dan setiap objek yang dilihat hanya kelihatan separuh sahaja. Keupayaan bertutur terjejas teruk dan segala butir percakapan sukar difahami oleh setiap pendengar yang biasanya terpaksa diulang-ulang menyebabkan saya merasa rimas untuk berbuat demikian.

Amat menyedihkan ialah untuk berjalan saya terpaksa dipapah sekalipun untuk membuang air kecil di tandas yang terletak hanya lima atau enam langkah daripada katil di bilik tidur.

Sewaktu terlantar di rumah boleh dikatakan ramai teman sepejabat datang berkunjung termasuk bos saya Dato’ Khairul Fahmy Mohd Yusof . Oleh kerana pertuturan saya terganggu sama sekali, saya merasa amat terharu dan sebak kerana tidak dapat melayan mereka yang datang berkunjung itu.

PROLOG

HASRAT untuk menulis catatan pengalaman diserang strok (stroke) atau angin ahmar memang telah lama terbuku di hati setelah saya semakin pulih. Tujuan utamanya adalah sekadar untuk berkongsi pengalaman dengan sesiapa sahaja agar ia kelak dapat dijadikan pedoman. Semoga dengan yang demikian itu dapat diambil iktibar dan jangan memandang ringan terhadap sebarang tanda-tanda awal serangan strok. Sebaliknya setiap orang perlu berwaspada kerana menurut mantan Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng: “Serangan angin ahmar kini dikenal pasti sebagai penyakit yang boleh menyebabkan kematian ketiga selepas penyakit jantung dan kemalangan kenderaan bermotor di Malaysia.” (Utusan Malaysia 2.8.2000).

Halangan utama yang membataskan saya untuk menghasilkan tulisan berkenaan ialah ‘masa’.

Memanglah semua orang mempunyai masa 24 jam sehari semalam. Tetapi barang diingat dahulu sebagai seorang kakitangan di sebuah bank seperti saya, masa dan tenaga adalah faktor penting yang amat perlu diberi perhatian.

Mana tidaknya? Sebaik bangun pagi setelah selesai solat subuh dan bersarapan, saya akan berjoging (berjalan) sebagai salah satu daripada senaman sehingga jam 7.50 pagi. Kemudian saya perlu mandi bagi membersihkan peluh dan demi untuk memperolehi keselesaan.

Setelah berpakaian kemas, saya berkejar pula ke pejabat agar dapat mengetik kad perakam waktu sebelum jam 8.30 pagi iaitu waktu pejabat (waktu kerja) bermula. Biarpun waktu kerja berakhir jam 5.30 petang, saya kadang-kadang meninggalkan pejabat sekitar jam 5.45 atau 5.50 petang. Jika tiba di rumah yang jaraknya sekitar 3 km daripada pejabat jam 6.00 petang, itu dikira awal kerana lazimnya saya tiba di rumah jam 6.15 dan kadang-kadang jam 6.30 petang.
Ketika tiba di rumah biasanya perut minta diisi sedikit lalu saya menjamah sekeping dua roti bakar atau kalau bernasib baik isteri saya yang bertugas sebagai guru menyediakan pisang goreng atau apa jua juadah. Ada kalanya dia membeli pasembur di tepi jalan menuju ke rumah kami.

Setelah perut terisi dan bertenaga sedikit, sekali lagi saya melakukan senaman dengan berjalan pergi balik di hadapan deretan rumah teres kami. Jauhnya kira-kira 400 meter pergi balik sehinggalah menjelang waktu maghrib dan badan juga sudah dibasahi peluh. Aktiviti sedemikian saya lakukan setiap hari bagi ‘membakar lemak’ dan agar sistem pengaliran darah berlangsung dengan sempurna.

Perlu dijelaskan, sebelum diserang strok, aktiviti seumpama ini hampir tidak pernah saya lakukan. Pada saya ia adalah suatu aktiviti yang kurang penting. Selepas mengalami serangan strok barulah saya sedar bahawa senaman adalah amat penting demi untuk mempertingkatkan tahap kesihatan seseorang terutama bila usia kian meningkat. Justeru saya memuji kalangan kebanyakan kaum Cina yang sejak dahulu lagi tanpa mengira usia, baik di waktu pagi atau petang akan berjoging sama ada dengan berlari atau cuma berjalan sahaja. Satu lagi kaedah yang mereka gunakan ialah ‘Taici’ iaitu sejenis senaman yang kelihatan mereka melakukan gerakan lemah lembut tetapi sebenarnya ia adalah sejenis senaman yang melibatkan seluruh badan baik luar atau dalam khususnya otak.

Seperkara yang mendorong saya agar melakukan senaman setiap pagi dan petang jika cuacanya baik ialah kerana saya sangat takut melihat cermin yang memperlihatkan bentuk badan terutamanya bahagian perut kian membesar (berisi) biarpun tekanan darah semakin baik.
Pada sebelah malam sebaik selesai menunaikan solat maghrib saya jarang melepaskan peluang untuk mengikuti berita-berita semasa yang terpapar di kaca televisyen. Jarang benar saya mengikuti rancangan-rancangan lain terutama yang berbentuk hiburan kecuali jika melibatkan artis-artis 60-an. Begitu juga dengan game show. Malangnya mungkin disebabkan tersangat letih saya lazimnya terlelap sebelum tamat rancangan Warta Perdana atau Buletin Utama.
Demikian rutin saya setiap hari.

Bagaimana pun ada saranan daripada teman-teman rapat agar saya memaparkan pengalaman peribadi secara bertulis berhubung dengan pengalaman diserang angin ahmar sehingga menyebabkan sebahagian badan lumpuh serta kehilangan daya pertuturan dan kini telah berupaya memandu kenderaan.

Saya sesungguhnya amat bersyukur ke hadrat Allah Yang Maha Kuasa. Selain itu terima kasih yang tidak terhingga kepada keluarga khususnya isteri dan anak-anak yang merupakan sumber kekuatan semangat dalam menghadapi musibah yang sudah tentu tersembunyi hikmahnya tersendiri. Juga tidak dilupakan sekalian teman dan kenalan terutama bekas bos saya, Dato’ Khairul Fahmy Mohd Yusof kerana dengan doa merekalah jua saya semakin pulih.

Faktor kedua yang juga turut menjadi penghalangnya ialah kerana rasa rendah diri (inferiority complex). Pada hemat saya, tiada sesiapa yang mahu membaca coretan saya itu kerana saya bukanlah ‘public figure’. Saya bukan artis terkenal atau tokoh terkemuka seperti pemimpin politik misalnya.

Bagaimanapun setelah membaca buku Cerita-Cerita Motivasi Untuk Kekuatan Diri oleh Hamedah Wok Awang di mana menurut maklumat ia diulangcetak sebanyak empat kali dalam tahun 2004 turut menyuntik semangat agar saya menulis pengalaman peribadi; diserang strok. Ini ditambah dengan saranan beberapa orang teman yang menyifatkan proses pemulihan yang saya alami itu sebagai sesuatu yang sangat menakjubkan (miracle).

Biarpun senantiasa sibuk, akhirnya saya berhasil mencuri waktu untuk menghasilkan coretan ini. Mudah-mudahan ia akan menjadi iktibar kepada sekalian pembaca. Secara tidak langsung pendekatan yang saya ambil ini juga adalah sebagai salah satu kaedah memperpanjangkan tali silatul rahim kerana baginda Rasulullah ada bersabda (maksudnya):

Siapa yang inginkan rezekinya dibanyak-banyakkan dan umurnya dipanjang-panjangkan, hendaklah ia menghubungkan tali silaturrahim.



Abdul Halim Yaacob, PJK.
Alor Star, Kedah Darul Aman.
2008.



.